Terkini
“Kestabilan dan Kemakmuran” tema utama manifesto BN dalam PRU15
‘Kestabilan dan Kemakmuran’ menjadi tema utama bagi manifesto Gabungan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

- Tema utama gabungan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah kestabilan dan kemakmuran.
- Manifesto ini telah mendapat persetujuan dalam mesyuarat dewan tertinggi parti berkenaan bagi memastikan kebajikan dan kedaulatan negara terus diperkasa.
- BN turut menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pembubaran Parlimen yang termaktub dalam perlembagaan.
SHAH ALAM- ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ menjadi tema utama bagi manifesto Gabungan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan manifesto tersebut dipilih setelah mendapat persetujuan dalam mesyuarat dewan tertinggi parti berkenaan pada Selasa lalu.
“BN komited untuk memastikan kebajikan rakyat dan kedaulatan negara terus diperkasa dengan penawaran polisi-polisi bersifat pro-rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan serta menyeluruh,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu pada masa sama turut menyatakan bahawa BN menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pembubaran Parlimen selaras dengan kuasa baginda seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Jelas beliau, segala persiapan telah diarahkan terhadap seluruh jentera parti itu sama ada di peringkat Parlimen dan DUN sebagai persediaan terhadap PRU15.
“Dewan tertinggi mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi PRU15.
“Perundingan pembahagian kerusi antara parti komponen dan ‘Friends of BN’ akan dimuktamadkan,” ujarnya.
Tambah Zambry, dewan tertinggi juga bersetuju dengan usaha-usaha untuk mengetengahkan calon-calon baharu yang mempunyai nilai ‘Winnable, Acceptable & Likeable’ (WALI) dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon wanita.
Sumber: Sinar Harian
