Antarabangsa
PBB beri amaran krisis makanan dunia, gesa jutawan dan negara teluk bantu
Ketua agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beri amaran dunia sedang hadapi krisis makanan kritikal dan menggesa penderma dari negara Teluk dan jutawan membantu menangani krisis bekalan baja, sekali gus mengelakkan krisis kekurangan makanan pada tahun hadapan.
- Ketua agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beri amaran dunia sedang hadapi krisis makanan kritikal dan menggesa penderma negara Teluk dan jutawan membantu menangani krisis bekalan baja yang menyumbang kepada krisis makanan dunia.
- Masalah iklim dunia meningkatkan lagi jumlah mereka di ambang kebuluran dari 80 juta kepada 135 juta orang di seluruh dunia.
- Pandemik COVID-19, yang bermula pada awal 2020 lalu pula menggandakan jumlah terbabit kepada 276 juta orang.
- Insiden Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, yang mencetuskan perang dan krisis makanan, baja dan tenaga, memburukan keadaan dan telah melonjakkan jumlah itu kepada 345 juta berdepan masalah akses makanan.
- Sekiranya masalah ini tidak dapat ditangani, dunia berdepan dengan masalah kelaparan, ketidakstabilan negara dan alami penghijrahan besar-besaran.
Ketua agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beri amaran dunia sedang hadapi krisis makanan kritikal dan menggesa penderma dari negara Teluk dan jutawan membantu menangani krisis bekalan baja, sekali gus mengelakkan krisis kekurangan makanan pada tahun hadapan.
“Jika tidak, akan berlaku huru-hara di seluruh dunia,” kata Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), David Beasley dalam temu bual Associated Press (AP) pada minggu lalu.
Beasley berkata apabila beliau menerajui World Food Programme (WFP) lima setengah tahun lalu, hanya 80 juta orang di seluruh dunia di ambang kebuluran.
Bagaimanapun, masalah iklim dunia meningkatkan lagi jumlah itu kepada 135 juta.
Pandemik COVID-19, yang bermula pada awal 2020 lalu, menggandakannya kepada 276 juta orang yang tidak mengetahui dari mana datangnya sumber makanan mereka.
Insiden Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, yang mencetuskan perang dan krisis makanan, baja dan tenaga, telah melonjakkan jumlah mereka di ambang kebuluran kepada 345 juta.
“Dalam tempoh itu, 50 juta orang di 45 negara kini ‘mengetuk’ pintu kebuluran,” kata Beasley.
“Jika kita tidak mencapai individu-individu ini, kita akan alami kebuluran, kelaparan, ketidakstabilan negara, tidak seperti apa yang kita lihat pada 2007-2008 dan 2011, dan penghijrahan besar-besaran, kita perlu bertindak sekarang,” katanya.
Beasley bertemu pemimpin-pemimpin dunia semasa perhimpunan agung PBB minggu lalu untuk memberi amaran tentang krisis makanan itu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran konflik dan krisis kemanusiaan semakin merebak dan memaklumkan rayuan dana kemanusiaan PBB berjumlah USD32 bilion adalah jurang kewangan terbesar setakat ini.
Beasley berkata dunia kini menghasilkan makanan yang mencukupi untuk memberi makanan kepada lebih 7.7 bilion populasi dunia, tetapi 50 peratus daripada makanan itu adalah kerana petani menggunakan baja.
Mereka tidak boleh mendapatkan hasil yang tinggi tanpanya.
China, pengeluar baja terkemuka dunia, mengharamkan eksportnya, manakala Rusia, yang merupakan negara nombor dua pengeluar baja sedang bergelut untuk memasarkan komoditi itu di pasaran dunia ekoran sekatan ekonomi.
Sumber: AP