Antarabangsa
Kemarau terburuk dalam tempoh 500 tahun melanda Eropah, makanan dunia terjejas?
Suruhanjaya Eropah menjangkakan purata hasil jagung dan kacang soya akan menurun sekitar 15 peratus akibat musim kemarau terburuk dalam tempoh 500 tahun yang sedang melanda benua itu.
- Suruhanjaya Eropah menjangkakan purata hasil jagung dan kacang soya akan menurun sekitar 15 peratus akibat kemarau terburuk itu.
- Kekurangan hujan adalah antara faktor pertanian terjejas dan risiko peningkatan kebakaran hutan.
- Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) meramalkan penurunan keluaran hasil tanaman berbanding purata lima tahun sebelum ini akibat musim kemarau berpanjangan itu.
BRUSSELS – Suruhanjaya Eropah menjangkakan purata hasil jagung dan kacang soya akan menurun sekitar 15 peratus akibat musim kemarau terburuk dalam tempoh 500 tahun yang sedang melanda benua itu.
“Kemarau kali ini adalah paling teruk sejak 500 tahun lalu,” demikian amaran Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah dalam laporan terkininya semalam dipetik agensi berita Anadolu.
Menurut kajian itu, kekurangan hujan antara faktor pertanian terjejas dan meningkatkan risiko kebakaran hutan lantas mewujudkan “keadaan membimbangkan” di mana 64 peratus wilayah Kesatuan Eropah (EU) berada di bawah amaran atau berjaga-jaga.
Tumbuhan dan tanaman menunjukkan kesan negatif kemarau di 17 peratus kawasan di EU, manakala kelembapan tanah berada dalam keadaan defisit di 47 peratus wilayah berkenaan.
Suruhanjaya Kesatuan Eropah meramalkan masing-masing 16 peratus, 15 peratus dan 12 peratus kekurangan hasil jagung bijirin, kacang soya dan bunga matahari, berbanding purata lima tahun sebelum ini akibat kemarau berpanjangan.
Kekurangan taburan hujan turut menjejaskan hampir semua sungai di seluruh Eropah yang menyebabkan gangguan dalam sektor tenaga dan pengangkutan, demikian menurut laporan itu.
Sumber: Anadolu Agency