Komuniti
Isu kuil di Damansara Damai: Papan tanda notis projek dipacak “secara haram” tanpa kebenaran MBPJ?
Selepas dibantah 5,000 penduduk di Damansara Damai, papan tanda notis pembinaan sebuah kuil di kawasan majoriti penganut Islam di sini “diturunkan” jam 8 malam semalam.
- Papan tanda notis pembinaan sebuah kuil di kawasan majoriti Islam di Damansara Damai diturunkan semalam.
- Difahamkan, papan tanda notis itu dipacak pihak perunding kuil terbabit tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (MBPJ).
- Projek pembinaan kuil itu juga dikatakan belum mendapat Kelulusan Membina (KM) dari MBPJ, berdasarkan audio rakaman wakil penduduk dengan pegawai pihak berkuasa tempatan itu.
KUALA LUMPUR – Selepas dibantah 5,000 penduduk di Damansara Damai, papan tanda notis pembinaan sebuah kuil di kawasan majoriti penganut Islam di sini “diturunkan” jam 8 malam semalam.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada papan tanda notis pembinaan kuil itu diturunkan pihak berwajib atau pihak lain.
Difahamkan papan tanda notis pembinaan yang mempunyai logo MBPJ itu dinaikkan “secara haram” pihak perunding kuil berkenaan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan terbabit (MBPJ).
Ini berdasarkan rakaman audio perbualan antara wakil penduduk dengan pegawai MBPJ dari Jabatan Perancangan dan Unit Pusat Setempat MBPJ yang diperoleh The Merdeka Times (TMT) mengenai aduan terhadap pembinaan kuil terbabit.
Melalui rakaman audio terbabit, seorang pegawai dari Jabatan Perancang MBPJ menjelaskan pihaknya belum menerima permohonan bagi kelulusan membina (KM) kuil terbabit.
Beliau juga menjelaskan MBPJ tidak memacak (menaikkan) papan tanda notis pembinaan kuil itu yang menimbulkan bantahan penduduk di Damansara Damai.
“So far kita tidak terima apa-apa permohonan (bina) kuil (di kawasan terbabit),” kata pegawai dari Jabatan Perancang MBPJ terbabit.
Difahamkan untuk mendapat KM (kelulusan membina), pihak terbabit perlu mengemukakan permohonan kepada Unit Pusat Setempat (OSC) MBPJ sebelum permohonan itu diproses bagi mendapatkan kelulusan KM dari pihak berkuasa tempatan terbabit.
Namun apa yang menimbulkan persoalan adalah kenapa kain rentang bantahan yang dinaikkan penduduk diturunkan anggota MBPJ pada 2 Ogos lalu dengan kehadiran polis dan papan tanda ‘haram’ itu dilihat hanya diturunkan sehari kemudiannya.
Papan tanda notis pembinaan kuil yang dipacak sebelum ini juga didapati tidak menyertakan tarikh spesifik mengenai pembinaan kuil terbabit sepertimana kebiasaan notis pembinaan lain, sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat.
Setakat jam 1 petang tadi, usaha TMT mendapatkan maklum balas MBPJ sejak semalam berhubung bantahan pembinaan kuil di Damansara Damai itu, masih belum membuahkan hasil.
Semalam The Merdeka Times mendedahkan mengenai bantahan 5,000 penduduk Damansara Damai terhadap pembinaan kuil di kawasan majoriti penduduk beragama Islam itu.
Ini merupakan kali ketiga bantahan dibuat penduduk sejak 2017 dan bantahan kedua pada 2019 menyebabkan pembinaan kuil itu ditangguhkan sementara.
Pembinaan kuil itu dibantah penduduk setempat atas tiga alasan iaitu jalan keluar masuk sempit; majoriti penduduk Apartmen Impian adalah Melayu/Islam dan ketiga; kebimbangan pengunjung luar tidak sensitif bila mengunjungi kuil itu (jika dibina) sekaligus ancaman risiko ketenteraman penduduk setempat.
Sesi penerangan khas di antara MBPJ dan polis dengan penduduk Damansara Damai akan diadakan di Dewan Apartmen Impian esok (5 Ogos 2022) jam 9.30 malam berhubung isu pembinaan kuil itu. – The Merdeka Times