Terkini
Bekas penyampai radio kesal hospital swasta terkenal salah beri ubat
Tular di media sosial mengenai pendedahan seorang bekas penyampai radio yang mendakwa seorang doktor hospital swasta terkenal di Petaling Jaya telah memberi preskripsi ubat yang salah kepada anaknya.
- Bekas penyampai radio A Kumaresh mendedahkan kisahnya mengenai seorang doktor hospital swasta didakwa telah memberi preskripsi ubat yang salah kepada anaknya.
- Doktor yang terlibat telah memberikan ubat influenza dan memaklumkan bahawa ujian bagi mengesahkan penyakit itu tidak perlu dibuat.
- Terdapat caj yang dikenakan untuk ujian influenza sedangkan ujian itu tidak dibuat.
Kuala Lumpur – Tular di media sosial mengenai pendedahan seorang bekas penyampai radio yang mendakwa seorang doktor hospital swasta terkenal di Petaling Jaya telah memberi preskripsi ubat yang salah kepada anaknya.
Menurut laporan Malaysiakini, A Kumaresh mengesahkan telah membuat aduan terhadap doktor tersebut melalui portal rasmi hospital sebelum mendedahkannya di media sosial.
“Tindakan doktor itu memberi preskripsi yang silap merupakan satu tindakan sangat cuai.
“Saya harap pihak hospital membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuai dalam insiden ini,” kata bekas kakitangan sebuah radio berbahasa Tamil yang juga seorang pelakon.
Sebelum ini Kumaresh pernah memuat naik video melalui TikTok yang menyarankan orang ramai untuk lebih peka apabila mendapatkan rawatan di hospital swasta, setelah berkongsi pengalamanya ketika mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital terbabit.
Kumaresh berkata ketika mendapatkan rawatan pada 13 Ogos, doktor yang terlibat memberikannya ubat influenza dan memaklumkan bahawa ujian bagi mengesahkan penyakit itu tidak perlu dibuat.
Menurut Kumaresh ketika di farmasi mereka mendapati ubat untuk influenza telah diberikan dan sebanyak RM 455 cas dikenakan bagi setiap seorang.
“Ketika kami memeriksa bil, terdapat caj untuk ujian influenza sedangkan ujian itu tidak dibuat. Selepas kami bertanya bil baru dikeluarkan dengan bayaran RM280,” katanya
“Kami bertanya siapa akan bertanggungjawab jika anak kami makan ubat yang silap?
“Kemudian, datang seorang lagi staff di farmasi minta menunggu.
“Selepas menunggu lebih 45 minit staff itu kembali dan berkata bahawa doktor itu silap memberi perubatan. Dia meminta maaf dan bil dikurangkan kepada RM160,” katanya.
Dalam pada itu, Kumaresh juga turut mendakwa bahawa ketika menunggu bagi mendapatkan ubat seorang “ketua jabatan kecemasan menghampirinya”.
“Dia memeriksa ubat yang diberi dan bertanya kenapa kami diberi antibiotik. Menurutnya, antibiotik tidak perlu dimakan pada hari pertama demam.
“Kami sangat kecewa dan tidak puas hati dengan layanan hospital swasta tersebut.
“Saya juga telah hilang keyakinan sepenuhnya terhadap integriti, profesionalisme dan kelakuan doktor tersebut.
“Harap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian serius dalam isu ini,” katanya.
Sumber: Malaysiakini