Ekonomi
OPR naik, bagaimana rakyat harus berbelanja?
Pakar-pakar ekonomi berpandangan kenaikan kadar faedah bank atau Kadar Dasar Semalaman (OPR) di negara ini memberi gambaran bahawa rakyat perlu berhemah dalam pengurusan kewangan.

- Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) isyarat rakyat perlu berhemah urus kewangan.
- OPR dinaikkan bagi mengawal kenaikan harga barang daripada terus melambung.
- Rakyat dinasihatkan hanya membeli barang keperluan, tidak buat pinjaman atau pembiayaan baharu juga tidak membeli barangan import.
SHAH ALAM – Pakar-pakar ekonomi berpandangan kenaikan kadar faedah bank atau Kadar Dasar Semalaman (OPR) di negara ini memberi gambaran bahawa rakyat perlu berhemah dalam pengurusan kewangan masing-masing.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, pengurusan kewangan berhemah itu termasuk hanya membeli barang yang perlu, tidak membuat pinjaman atau pembiayaan baharu dan tidak membeli barangan import.
Ini kerana katanya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini semua pihak perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak.
“Utamakan perbelanjaan berhemah ini maksudnya orang ramai hanya perlu membuat pembelian terhadap barang yang perlu. Tidak membeli barang berjenama atau mewah.
“Paling utama, dalam tempoh ini juga rakyat tidak membuat pinjaman atau menambah pembiayaan baharu atau dalam erti kata lain beli kereta yang mampu dibayar atau beli rumah untuk didiami bukan tujuan untuk pelaburan tambahan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Baharom berkata, rakyat juga perlu sedar bahawa OPR dinaikkan atau polisi penguncupan dibuat bagi mengawal kenaikan harga barang daripada terus melambung.
“Orang ni kadang-kadang dia silap mengatakan BNM menaikkan kadar faedah ini menyusahkan tetapi sebenarnya mereka menaikkan OPR itu demi untuk memperlahankan kenaikan harga barang atau memberhentikan kenaikan harga barang,” ujarnya.
Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol bahawa rakyat perlu berdisiplin dalam berbelanja serta menguruskan kewangan ketika ini.
Ini kerana katanya, peningkatan OPR berulang-kali dalam tempoh yang singkat juga akan memberi kesan buruk kepada rakyat.
“Walaupun peningkatan kadar OPR ini bertujuan untuk mengawal kadar inflasi yang semakin meningkat namun ia memberi mesej sangat jelas kepada rakyat khususnya B40 agar mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan memberi impak perubahan dalam perbelanjaan isi rumah.
“Selain itu ia juga memberi mesej kepada rakyat agar mereka perlu menguruskan kewangan diri dan keluarga secara berhemah dan bersederhana.
“Ini kerana kenaikan OPR akan menyebabkan bayaran bulanan kereta, bayaran rumah, pembiayaan peribadi dan beberapa lagi produk bank mengalami kenaikan kadar bayaran berbanding sebelum ini.
“Dalam situasi ini juga rakyat dinasihatkan lebih bijak membuat pilihan,” kata beliau.
Sumber: Sinar Harian
Ekonomi
TIN, e-invois kurangkan saiz ekonomi bayangan tanpa GST
Pelaksanaan nombor pengenalan cukai (TIN) dan e-invois adalah inisiatif kerajaan bagi mengurangkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia.

- Pelaksanaan nombor pengenalan cukai (TIN) dan e-invois adalah inisiatif kerajaan bagi mengurangkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia.
- Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dua kaedah itu adalah sebagai ‘Pelan B’ kepada usaha mengurangkan saiz ekonomi bayangan tanpa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
- “Bagi elak perkara itu (ekonomi bayangan), Kementerian Kewangan membuat Pelan B. Kita guna Plan B iaitu TIN, umur 18 tahun sudah diberi nombor cukai.
- “E-invois pula membolehkan segala nota debit, kredit didigitalkan dan berhubung secara dalam talian dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya kepada BH.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan nombor pengenalan cukai (TIN) dan e-invois adalah inisiatif kerajaan bagi mengurangkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata dua kaedah itu adalah sebagai ‘Pelan B’ kepada usaha mengurangkan saiz ekonomi bayangan tanpa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Beliau mengakui pelaksanaan GST dalam tempoh 2015 hingga 2018 berjaya mengurangkan ekonomi bayangan sebanyak 10 peratus berbanding kira-kira 30 peratus sebelum itu.
“Bagi elak perkara itu (ekonomi bayangan), Kementerian Kewangan membuat Pelan B. Kita guna Plan B iaitu TIN, umur 18 tahun sudah diberi nombor cukai.
“E-invois pula membolehkan segala nota debit, kredit didigitalkan dan berhubung secara dalam talian dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ini untuk elak ekonomi gelap bercambah dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya kepada BH.
Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024.
Sementara itu, pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.
TIN akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois supaya ia dapat melebarkan lagi jaringan pembayar cukai susulan pematuhan cukai secara sukarela yang seterusnya mengurangkan ketirisan hasil.
Dalam Belanjawan 2024, kutipan hasil kerajaan pada 2024 dijangka menyaksikan peningkatan kepada RM307.6 bilion berbanding RM303.2 bilion tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ditingkatkan kepada RM10 bilion berbanding RM8 bilion berikutan hasil inisiatif dijalankan kerajaan bermula tahun ini seperti subsidi bersasar elektrik yang dapat menjimatkan RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion.
Katanya, subsidi dan bantuan sebanyak RM81 bilion untuk 2023 adalah terlalu tinggi, maka subsidi bersasar wajar dilaksanakan pada 2024.
“STR sudah ditambah baik. Jumlah penerima STR adalah seramai sembilan juta atau 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.
“Peruntukan ditingkatkan daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion, yang mana kadar maksimum ditingkatkan daripada RM3,100 kepada RM3,700. Kadar minimum untuk golongan bujang juga ditingkatkan daripada RM350 kepada RM500,” katanya.
Ahmad berkata, kerajaan turut memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam MyKad 200,000 penerima STR sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan.
Beliau berkata, SARA akan diperluaskan kepada 700,000 penerima yang akan menerima RM100 sebulan untuk 12 bulan.
“Sebanyak RM500 juta akan diperuntukkan untuk meneruskan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk meningkatkan lebih ramai rakyat miskin tegar bagi mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.
Sumber: Berita Harian
-
Terkini3 days ago
Kibar bendera Israel, lelaki dipenjara enam bulan
-
Terkini4 days ago
Terus beku akaun Aman Palestin, SPRM umpama ‘dera’ penduduk Gaza – Tun Mahathir
-
Terkini4 days ago
Peguam bidas Justice For Sisters kecam penubuhan pusat pemulihan LGBT di Johor
-
Antarabangsa4 days ago
Bekas banduan Palestin dakwa dicabul, diserang guna anjing di penjara rejim Israel