Antarabangsa
Hindutva ideologi bencikan Islam!
Disebabkan Islamofobia disokong oleh parti pemerintah India, hal ini menjadikan nasionalis Hindu lebih berani menyebarkan ideologi Hindutva yang kononnya memperjuangkan budaya, nationalisme, dan identiti sebenar India.
- Hindutva berkait rapat dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang juga pemimpin BJP yang mengiktiraf undang-undang mendiskriminasi umat Islam.
- Meningkatkan kebencian terhadap Islam dalam kalangan masyarakat India merupakan agenda sebenar mereka.
- Pihak yang mengkritik kerajaan akan dihalang.
- Perniagaan orang Islam diboikot.
- Rumah yang terlibat dalam protes mengecam penghinaan terhadap Nabi Muhammad dirobohkan.
ISTANBUL – Disebabkan Islamofobia dan keganasan terhadap orang Islam disokong oleh parti pemerintah India, hal ini menjadikan nasionalis Hindu lebih berani menyebarkan ideologi Hindutva yang kononnya memperjuangkan budaya, nationalisme, dan identiti sebenar India.
Menurut analisis seorang pelajar Ph.D di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Istanbul Medeniyet University, Hindutva dikatakan berkait rapat dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Meningkatkan kebencian terhadap agama Islam dalam kalangan masyarakat India merupakan agenda sebenar mereka.
Sepertimana yang dilaporkan oleh Human Rights Watch, parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP) bukan sahaja mengiktiraf undang-undang yang mendiskriminasi orang Islam bahkan turut mendesak masyarakat sivil dan pihak media untuk melakukan perkara sama.
Sekiranya terdapat ahli-ahli akademik, wartawan, atau aktivis yang mengkritik kerajaan dan dasar tersebut, mereka akan dihalang dari terus berbuat demikian.
Di samping itu, parti pemerintah tersebut juga mengenakan boikot terhadap pekerjaan, perniagaan dan aktiviti jual beli yang diusahakan orang Islam.
Kebencian terhadap umat Islam semakin disedari ketika beberapa pemimpin tertinggi BJP seperti Nupur Sharma, Naveen Kumar Jindal, dan Harshit Srivastava membuat kenyataan fitnah bertujuan menghina Nabi Muhammad S.A.W dan isteri baginda, Aisyah R.A.
Susulan kenyataan fitnah tersebut, umat Islam menjalankan protes di Uttar Pradesh (negeri yang memiliki penduduk Islam teramai di India) bagi mengecam tindakan itu, namun dua buah rumah yang terlibat dengan protes tersebut telah dirobohkan.
Islamofobia mula muncul di India pada sekitar tahun 1992 apabila sebuah masjid di Ayodhya dirobohkan oleh pengganas Hindu yang mendakwa tapak masjid tersebut merupakan tempat kelahiran Tuhan mereka, Ram.
Hindutva telah pun bermula pada abad ke-19 dan BJP telah menjadi penyumbang terbesar dalam meluaskan ideologi gerakan tersebut ke seluruh India.
Ia bermula selepas kemerdekaan India daripada kolonisasi Britain dan dipengaruhi oleh gerakan-gerakan nasionalis yang mengajak masyarakat untuk “kembali kepada identiti asal” sebagai rakyat India.
Pada abad ke-20, sentimen anti-Islam di India dicetuskan semula berikutan manifesto oleh Vinayak Savarkar yang berjanji untuk melindungi agama Hindu seperti Hindu Mahasabha atau Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS).
Sumber : AA