Terkini
(VIDEO) Isu royalti petroleum: Kerajaan Terengganu fokus kepada REE, tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR — Tidak mahu bergantung kepada royalti petroleum semata-mata, selain mendakwa ada double standard berkait isu itu, kerajaan Terengganu melaksanakan pelan tindakan untuk mempelbagai sumber hasil negeri berkaitan unsur nadir bumi (REE) di negeri berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata Kerajaan Terengganu telah membentangkan beberapa pelan tindakan untuk memfokuskan kepada REE dan tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar dan hidrogen.
“Cuma isunya, nak pulih hasil itu, ia ambil masa yang lama. Sedangkan hasil ini (petroleum) yang sudah ada, kenapa tidak diberi?,” Dr Tengku Muhammad Fakruddin berkata demikian ketika menjadi panel program Bicara Parlimen bertajuk, “Kerajaan ‘Double Standard‘: Persepsi atau Realiti?” yang diadakan di Studio Terengganu Strategic & Integrity Institute KL, baru-baru ini.
Beliau menjawab soalan pengacara program mengapa Kerajaan Negeri Terengganu sangat bergantung kepada royalti petroleum dan seolah-olah tiada punca pendapatan lain.
Mengulas lanjut mengenai isu royalti, beliau merujuk kepada kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, mengenai pemberian royalti lima peratus kepada Kerajaan Negeri atas hasil petroleum di setiap negeri.
“Terengganu, dari awal jumpa petroleum kali pertama hinggalah kepada tahun 1999, memang dapat royalti petroleum.
“Tapi, bila mana berlakunya perbezaan politik, antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, bila mana masa itu tahun 1999 kali kedua PAS memerintah Terengganu di bawah pimpinan tuan guru Haji Abdul Hadi Awang, pada masa itu dibuat satu usul dalam Persidangan Agung UMNO untuk disekat royalti kepada Terengganu.
“Yang sepatutnya royalti lima peratus itu diberikan secara terus kepada Kerajaan Negeri ditukar lima peratus itu dan dinamakan sebagai duit Wang Ehsan, lalu diberikan konon-kononnya diberikan terus kepada rakyat bypass Kerajaan Negeri dan ini menunjukkan bagaimana double standard yang berlaku dan sekatan ini bukannya baru,” katanya.
Lebih malang, menurut Tengku Muhammad Fakhruddin, apabila Kerajaan Persekutuan menggubal Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan kuasa Kerajaan Negeri (menerokai sumber dan hasil) kepada sekadar tiga batu nautika, iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai.
“Sepatutnya setiap negeri ini saya kira kita perlu ubah balik dasar kita, hak kuasa Kerajaan Negeri, hak kuasa Kerajaan Persekutuan perlu revise balik, dan ada sebahagian daripada kuasa autonomi itu diberikan balik kepada Negeri untuk Negeri menguruskan hasilnya dengan baik.
“Tidak ada guna untuk kita, Persekutuan dan Negeri berbalah, bertembung, sedangkan kita ini sama-sama satu negara. Tanpa Terengganu tidak akan ada Malaysia, sepatutnya kita bersatu saling kuat-menguatkan untuk kita membawa negara ini terus maju ke mercu tanda yang akan datang,” kata Tengku Muhammad Fakhruddin.
Isu berkenaan royalti kepada Terengganu dilapor terus menjadi polemik berpanjangan apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini pernah mendakwa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti terhadap negeri itu.
Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2025, Ahmad Samsuri mendakwa segala urusan perbelanjaan Negeri Terengganu berkaitan peruntukan royalti kini memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan mengikut case-by-case.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menafikan Kerajaan Persekutuan mengenakan sebarang sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu.
Sebaliknya, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan bantuan kepada negeri itu seperti sebelum ini yang dikenali sebagai Wang Ehsan.— The Merdeka Times
