Terkini
Tidak boleh guna wang sumbangan untuk pengiklanan tanpa izin penderma – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Wakil pengumpul sumbangan sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat, masjid dan sebagainya diharuskan menggunakan sebahagian kutipan derma untuk mempromosikan atau merancakkan lagi kutipan dengan syarat ia mendapat keizinan penderma.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata keizinan penderma boleh diperolehi dengan menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat pihak terbabit menggunakan sebahagian duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.
- “Dalam konteks isu ini, uruf di Malaysia mungkin memahami bahawa sejumlah kecil duit sumbangan dikutip akan digunakan untuk kos pengurusan oleh wakil, namun ia tidak meliputi kos promosi.
- “Oleh itu, sebarang penggunaan duit sumbangan perlu mendapat keizinan penderma terlebih dahulu, melainkan untuk perkara yang telah diterima secara uruf seperti penggunaan untuk kos pengurusan,” katanya menerusi artikel diterbitkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.
- Ia menjawab soalan tentang hukum NGO menggunakan sebahagian hasil kutipan derma untuk mempromosikan lagi sumbangan tersebut dengan membayar pihak lain seperti pempengaruh (influencer) atau syarikat pemasaran.
KUALA LUMPUR — Wakil pengumpul sumbangan sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat, masjid dan sebagainya diharuskan menggunakan sebahagian kutipan derma untuk mempromosikan atau merancakkan lagi kutipan dengan syarat ia mendapat keizinan penderma.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata keizinan penderma boleh diperolehi dengan menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat pihak terbabit menggunakan sebahagian duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.
Katanya, jika wang telah dikumpulkan, pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan semua penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.
“Antara yang menyebutkan perkara ini ialah Imam al-Syirazi, kata beliau: “Wakil tidak memiliki hak untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinan orang yang mewakilkan sama ada secara lisan ataupun uruf (adat) kerana tindakan wakil perlu dengan izin. Oleh itu, dia tidak memiliki (hak untuk melakukan sesuatu) melainkan dengan izin.”
“Berdasarkan petikan di atas, jelas wakil hanya boleh menyalurkan duit kutipan derma itu mengikut apa diizinkan kepadanya oleh penderma di mana segala penggunaan duit tersebut untuk tujuan yang lain tidak dibolehkan melainkan dengan meminta keizinan penderma yang boleh diperoleh sama ada melalui lisan ataupun uruf.
“Dalam konteks isu ini, uruf di Malaysia mungkin memahami bahawa sejumlah kecil duit sumbangan dikutip akan digunakan untuk kos pengurusan oleh wakil, namun ia tidak meliputi kos promosi.
“Oleh itu, sebarang penggunaan duit sumbangan perlu mendapat keizinan penderma terlebih dahulu, melainkan untuk perkara yang telah diterima secara uruf seperti penggunaan untuk kos pengurusan,” katanya menerusi artikel diterbitkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan dikemukakan seorang individu yang bertanyakan tentang hukum NGO menggunakan sebahagian hasil kutipan derma untuk mempromosikan lagi sumbangan tersebut dengan membayar pihak lain seperti pempengaruh (influencer) atau syarikat pemasaran.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan perkara tersebut turut bertepatan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke 137/2022 pada 2022 yang memutuskan beberapa keputusan.
Keputusan itu antaranya mengatakan jumlah dana digunakan bagi tujuan promosi perlu sekadar keperluan selain memastikan wang terbabit digunakan dengan cermat dan memberi kebaikan kepada penderma.
Terdahulu, media melaporkan pengambilan komisen hasil sumbangan derma masyarakat awam oleh NGO untuk kos pengurusan, pentadbiran, gaji pekerja, sewaan bangunan dan sebagainya adalah dibenarkan mengikut pandangan Islam, namun pengambilan itu adalah dengan kadar sewajarnya sahaja.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Profesor Madya Dr Azri Bhari berkata mengikut pandangan agama atau fatwa, pengambilan komisen sewajarnya bersandarkan kos pentadbiran dan pengurusan NGO yang sebenarnya sahaja, bukan mengikut peratusan. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/