Connect with us

Terkini

Pengunjung Starbucks diramal merosot 40 peratus akibat boikot – RHB Investment

Kunjungan ke premis jenama kopi antarabangsa, Starbucks Coffee dianggarkan merosot 40 peratus susulan tindakan boikot secara meluas rakyat Malaysia ke atasnya yang dikaitkan dengan sokongan ke atas rejim penjajah Israel.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kunjungan ke premis jenama kopi antarabangsa, Starbucks Coffee dianggarkan merosot 40 peratus susulan tindakan boikot secara meluas rakyat Malaysia ke atasnya yang dikaitkan dengan sokongan ke atas rejim penjajah Israel.
  • Ia berdasarkan pemerhatian RHB Investment Bank Bhd yang dalam nota penyelidikannya berkata, gambaran itu menyaksikan persekitaran perniagaan pengendali Starbucks Coffee, Berjaya Food Bhd (BFood) bertukar saranan kepada ‘berwaspada’, memandangkan gerakan boikot itu mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan, sekiranya tiada penyelesaian jangka pendek dalam konflik Israel-Hamas.
  • Bank pelaburan itu berkata situasi selepas tempoh boikot mungkin tidak dapat dipulihkan dengan begitu mudah dan BFood mungkin perlu berusaha keras untuk meraih semula bahagian pasarannya disebabkan persaingan sengit.
  • “Namun begitu, kebanyakan jenama pesaingnya menerima jumlah kunjungan pelanggan seperti biasa. Situasi ini dilihat lebih buruk berbanding yang dijangka, dan perkara ini mungkin akan mendesak Starbucks Coffee untuk menjalankan promosi dengan lebih agresif,” kata dua penganalisisnya, Tai Yu Jie dan Soong Wei Siang dipetik Berita Harian, semalam.

KUALA LUMPUR — Kunjungan ke premis jenama kopi antarabangsa, Starbucks Coffee dianggarkan merosot 40 peratus susulan tindakan boikot secara meluas rakyat Malaysia ke atasnya yang dikaitkan dengan sokongan ke atas rejim penjajah Israel.

Ia berdasarkan pemerhatian RHB Investment Bank Bhd yang dalam nota penyelidikannya berkata, gambaran itu menyaksikan persekitaran perniagaan pengendali Starbucks Coffee, Berjaya Food Bhd (BFood) bertukar saranan kepada ‘berwaspada’, memandangkan gerakan boikot itu mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan, sekiranya tiada penyelesaian jangka pendek dalam konflik Israel-Hamas.

Bank pelaburan itu berkata situasi selepas tempoh boikot berkemungkinan tidak dapat dipulihkan dengan begitu mudah dan BFood mungkin perlu berusaha keras untuk meraih semula bahagian pasarannya disebabkan persaingan sengit.

Katanya, perolehan tahun kewangan 2024 (Jun) adalah 25 peratus lebih rendah berbanding ramalan konsensus dan RHB Investment Bank berpendapat harga saham masih belum mencerminkan risiko negatif yang menekan perolehan BFood.

“Hasil semakan lapangan, kami melawat beberapa cawangan Starbucks Coffee di pusat beli-belah ketika waktu puncak dan mendapati jumlah kunjungan pelanggan agak rendah berbanding tahap biasa, meskipun pusat beli-belah berkenaan sesak dengan pengunjung.

“Namun begitu, kebanyakan jenama pesaingnya menerima jumlah kunjungan pelanggan seperti biasa. Situasi ini dilihat lebih buruk berbanding yang dijangka, dan perkara ini mungkin akan mendesak Starbucks Coffee untuk menjalankan promosi dengan lebih agresif.

“Hal ini berkemungkinan menyebabkan margin untung kasar (GPM) menyusut dengan ketara. Malangnya, gerakan boikot ini terjadi pada waktu hujung tahun yang lazimnya menerima kunjungan pelanggan yang tinggi,” kata dua penganalisisnya, Tai Yu Jie dan Soong Wei Siang dipetik Berita Harian, semalam.

Menurut RHB Investment Bank, kehilangan penguasaan pasaran itu mungkin bukan untuk sementara kerana gerakan boikot jenama berkenaan boleh menyebabkan pengguna mencuba pilihan lain, sekali gus dapat dimanfaatkan pesaing dan mengurangkan bahagian pasaran Starbucks Coffee.

“Peralihan ke jenama pesaing ini mungkin berterusan, terutamanya dalam kalangan pelanggan yang tidak begitu mementingkan soal jenama minuman, dan yang memilih untuk membeli minuman mereka tanpa menjamu di kedai.

“Hal ini juga akan menjejaskan rancangan pengembangan besar-besaran BFood untuk tahun kewangan 2024 dengan sasaran membuka 40 hingga 50 kedai,” katanya.

Bank pelaburan itu mendedahkan risiko negatif terhadap perolehan konsensus dengan pendapatan tahun kewangan 2024 sejumlah RM88 juta dilihat optimistik, memandangkan perolehan suku pertama tahun kewangan 2024 sebanyak RM19.3 juta, keadaan di mana ia tidak terkesan akibat boikot atau merangkumi 22 peratus daripada ramalan itu.

“Oleh itu, pihak konsensus mungkin tidak menjangka operasi Starbucks Coffee akan terjejas teruk sebegini, malah gerakan boikot dilihat mendapat sokongan yang meluas daripada pengguna.

“Hal ini bertentangan dengan pihak konsensus yang meramalkan boikot ini berlangsung hanya buat seketika, maka penjualan saham terhad,” katanya.

Justeru, RHB Investment Bank menukar saranan saham BFood kepada JUAL dengan jangkaan untung bersih tahun kewangan 2024 hingga 2026 masing-masing susut 21 peratus, 17 peratus dan 7.0 peratus.

Berjaya Food ketika ini menguruskan lima jenama F&B antaranya Starbucks Coffee, Kenny Rogers Roasters, Jollibean dan Sala.

Di Malaysia, pada masa ini terdapat lebih daripada 370 kedai Starbucks, 69 cawangan Kenny Rogers Roasters, lima kedai SALA, satu kedai Kelava dan satu cawangan Paris Baguette.

Starbucks adalah salah satu daripada beberapa rangkaian berpangkalan di Amerika Syarikat, termasuk McDonalds dan Burger King.

Rangkaian itu disasarkan diboikot rakyat Malaysia yang berang kerana dianggap mempunyai hubungan (sokongan) dengan rejim penjajah zionis Israel dan kempen ketenteraannya di Gaza. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *