Terkini
Mengapa 36 peratus rakyat Malaysia cadang berhenti kerja?
Lebih satu pertiga atau 36 peratus rakyat Malaysia bercadang untuk berhenti kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang, bagi mendapatkan gaji lebih tinggi, peluang kerjaya lebih baik dan kerja yang fleksibel.

- Menurut Kaji Selidik Bayangan Semula Pekerjaan EY 2022, antara faktornya adalah kerana pekerja Malaysia ingin mendapatkan gaji lebih tinggi, peluang kerjaya lebih baik dan kerja yang fleksibel.
- Perkara ini turut didorong pasaran pekerjaan yang semakin mengecil dan pertambahan jumlah pekerjaan tawarkan cara kerja fleksibel.
- Ketika banyak negara keluar daripada pandemik Covid-19, pekerja mempunyai pengaruh lebih besar terhadap majikan dan ‘senarai dimahukan’ daripada majikan berpotensi berubah.
- Majoriti majikan Malaysia menyatakan bahawa syarikat sedang aktif menggalakkan model kerja hibrid untuk menarik dan kekalkan bakat manakala 64 peratus majikan sudah membina pelan hibrid bagi kakitangan.
Kuala Lumpur: Lebih satu pertiga atau 36 peratus rakyat Malaysia bercadang untuk berhenti kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang, bagi mendapatkan gaji lebih tinggi, peluang kerjaya lebih baik dan kerja yang fleksibel.
Harian Metro melaporkan pekerja Gen Z dan milenial di Malaysia (48 peratus) adalah yang paling berkemungkinan untuk berhenti kerja tahun ini berbanding 9.0 peratus baby boomer, memetik kepada Kaji Selidik Bayangan Semula Pekerjaan EY 2022.
Kajian tersebut mendapati, perkara ini turut didorong oleh pasaran pekerjaan yang semakin mengecil dan pertambahan jumlah pekerjaan yang menawarkan cara kerja fleksibel.
Kaji selidik itu, antara yang terbesar seumpamanya, mengambil pandangan lebih daripada 1,500 pemimpin perniagaan dan 17,000 pekerja di 22 negara, termasuk 50 majikan dan 250 pekerja di Malaysia.
Ia menunjukkan bahawa, ketika banyak negara keluar daripada pandemik Covid-19, pekerja mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap majikan dan ‘senarai dimahukan’ daripada majikan berpotensi juga telah berubah.
Hampir separuh daripada pekerja Malaysia atau 44 peratus dalam kaji selidik itu menyatakan mereka akan kekal di organisasi masing-masing jika mendapat bayaran lebih baik.
Sebanyak 26 peratus responden pula menyatakan kemahuan untuk fleksibiliti kerja lebih baik atau bekerja di luar pejabat dan 24 peratus menyatakan kenaikan pangkat ke peranan kepimpinan adalah satu lagi sebab untuk kekal di tempat kerja sekarang.
Walaupun 22 peratus majikan di Malaysia bersetuju bahawa menyediakan peluang perkembangan kerjaya adalah cara untuk mengatasi pekerja berhenti, hanya lapan peratus bersedia untuk menyemak semula daya saing program ganjaran masing-masing.
Menurut kaji selidik tahun lalu, aturan kerja fleksibel, yang menjadi faktor terbesar perpindahan pekerja di Malaysia, kini kurang menjadi pendorong.
Hanya 16 peratus pekerja mahu fleksibiliti kerja dari jauh walaupun majoriti atau 95 peratus mahu bekerja di luar pejabat sekurang-kurangnya dua hari seminggu.
Ini berikutan kebanyakan responden sudah pun bekerja dengan syarikat yang menawarkan fleksibiliti sedemikian.
Hanya minoriti majikan atau 16 peratus yang mahu pekerja kembali ke pejabat lima hari seminggu.
Majoriti majikan di Malaysia, atau 72 peratus menyatakan bahawa syarikat sedang aktif menggalakkan model kerja hibrid dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat, manakala 64 peratus majikan menyatakan sudah membina pelan hibrid untuk kakitangan.
Sumber : Harian Metro
