Terkini
TPM digesa tumpu projek naik taraf sekolah Sarawak, bukan sibuk iktiraf UEC
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof digesa agar menumpukan perhatian terhadap projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan asas di 1,458 buah sekolah sekitar negeri Sarawak yang masih jauh terkebelakang.

- TPM, Datuk Seri Fadillah Yusof digesa agar menumpukan perhatian terhadap projek menaik taraf kemudahan asas di 1,458 buah sekolah Sarawak.
- “Saya sekali lagi menasihati Timbalan Perdana Menteri agar jangan jadikan alasan jika Sarawak masih jauh dibelakang kerana semasa ada jawatan, sibuk nak iktiraf UEC dan menentang arus dasar pendidikan negara” – Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Cikgu Izzat Johari.
- Ini kerana kasihan dengan nasib murid-murid di Sarawak kerana tidak dapat merasai pendidikan yang sempurna sebagaimana murid di semenanjung.
- Ini disebabkan kita sudah berada di zaman berteknologi tinggi tetapi di sekolah, kerusi meja masih pakai kayu.
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof digesa agar menumpukan perhatian terhadap projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan asas di 1,458 buah sekolah sekitar negeri Sarawak yang masih jauh terkebelakang.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Cikgu Izzat Johari, peluang dilantik menjawat jawatan tertinggi tersebut dalam kerajaan hari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya.
“Sehubungan itu, saya sekali lagi menasihati dan menyarankan kepada Timbalan Perdana Menteri agar mengambil kesempatan jawatan yang diberikan untuk memberi fokus kepada negeri Sarawak.
“Dan jangan jadikan alasan selepas ini jika Sarawak masih jauh dibelakang kerana semasa ada jawatan, sibuk nak iktiraf UEC dan menentang arus dasar pendidikan negara.
“Kepada orang Sarawak, desaklah menteri-menteri anda untuk menaikkan pembangunan negeri dan kemudahan infrastruktur negeri sementara ada wakil Sarawak sebagai Timbalan Perdana Menteri, jawatan nombor dua negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook, baru-baru ini.
Katanya, kasihan kepada murid-murid di Sarawak kerana tidak dapat merasai pendidikan yang sempurna sebagaimana murid di semenanjung Malaysia.
“Walaupun ada juga sebahagian sekolah di semenanjung juga jauh di pedalaman. Ini realiti kerana kita sudah berada di zaman berteknologi tinggi tetapi di sekolah, kerusi meja masih pakai kayu,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri sebelum ini berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung isu UEC.
Pertemuan itu menurutnya bagi membolehkan beliau mendapatkan penjelasan berhubung alasan di sebalik keputusan KPM tidak mengiktiraf sijil berkenaan selain menjelaskan mengenai pendekatan kerajaan Sarawak berhubung isu sama. – The Merdeka Times.
Sumber: Facebook Cikgu Izzat Johari

You must be logged in to post a comment Login