Kolumnis
“Kebebasan bersuara bukan bermaksud kebebasan menghina!”
Kebebasan bersuara yang diperuntukkan, perlu diamalkan dengan mengambil kira sekatan-sekatan yang telah dibuat daripada sisi undang-undang.
- Susulan daripada kontroversi rakaman video wanita di sebuah kelab komedi, laporan polis telah dibuat oleh pihak kelab berkenaan.
- Ada pihak mengkritik tindakan kelab terbabit yang tidak menyokong para pelawaknya.
- Antara inti pati kritikan berkisar asas kebebasan bersuara.
- Prinsip kebebasan bersuara dijamin oleh perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada sekatan-sekatan yang telah dibuat.
- Asas kebebasan bersuara tidak mutlak dan tidak boleh digunakan untuk memecah belahkan keharmonian kaum dan menyentuh sensitiviti agama.
Hangat di media sosial rakaman video persembahan seorang wanita, Siti Amira Natasya binti Abdullah di sebuah kelab komedi, Crackhouse Comedy Club di TTDI. Tindakan wanita tersebut mencetuskan kontroversi apabila baju kurung dan tudungnya ditanggalkan di hadapan penonton dan hanya mengenakan sehelai baju seksi bertali halus berwarna hitam dan skirt singkat paras paha.
Susulan daripada kecaman ramai, kelab komedi berkenaan menyatakan pendirian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan wanita terbabit yang didakwa menghina kesucian agama Islam menerusi perbuatannya.
Walau bagaimanapun, kutukan tersebut mengundang kritikan dari Boo Su-Lyn, seorang ketua editor di CodeBlue, yang berpendapat tindakan kelab terbabit memalukan kerana tidak menyokong para pelawaknya.
“Shame on @CrackhouseKL for not standing by their comedians.
“Worse, filing a police report against her.
“Don’t call yourself a comedy club if you can’t defend basic freedom of expression.
“There are no laws forbidding women from wearing a spaghetti-strap top and miniskirt”, demikian ciapan dimuat naik Su-Lyn di akaun Twitter miliknya.
Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kebebasan bersuara kepada setiap warganegara Malaysia, namun perlu diingat ia tidak bersifat mutlak dan terdapat sekatan-sekatan tertentu di bawah perlembagaan.
Menurut perkara 10(2), Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan.
Kebebasan bersuara yang diperuntukkan, perlu diamalkan dengan mengambil kira sekatan-sekatan yang telah dibuat daripada sisi undang-undang.
Antara sekatan tersebut dapat dilihat melalui seksyen 298 dan seksyen 298A Kanun Keseksaan. Apa-apa ungkapan atau perbuatan yang mempunyai apa-apa kaitan dengan perkara perkauman atau agama yang mungkin berpotensi menyinggung perasaan sesiapa sahaja dari bangsa dan/atau agama tertentu, atau kumpulan kaum dan/atau agama, berisiko mengakibatkan sabitan di bawah peruntukan tersebut.
Kes wanita berkenaan sememangnya mengundang kemarahan dan kecaman orang ramai terutamanya umat Islam kerana tindakannya dianggap mencabar kesucian ajaran Islam.
Apa yang dimaksudkan dengan asas kebebasan bersuara adalah kebebasan menyatakan pendapat tanpa menyentuh isu-isu sensitif yang telah ditetapkan dalam perkara 10(2), (3) dan (4) di dalam perlembagaan.
Hakikatnya, hak ini tidak bersifat mutlak di Malaysia dan ianya dihadkan dalam konteks tidak mengundang kebencian, persengketaan antara kaum/agama dan mengganggu ketenteraman awam.
Nilai kebebasan bersuara bukan semata-mata pada kebebasan mengenakan apa jua jenis pakaian pada tubuh, tetapi lebih dari itu.
Hak kebebasan yang kita kecapi pada hari ini masih tertakluk kepada halangan melakukan perkara-perkara yang mungkin boleh memecah belahkan perpaduan kaum dan menyentuh sensitiviti agama.
Ini bermaksud konsep kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan tertakluk dengan sekatan-sekatan yang wujud melalui peruntukan yang digubal bagi memelihara keamanan negara dan hak asasi masyarakat umum untuk hidup dalam keadaan harmoni.