Connect with us

Terkini

SRC UTAR pertahan edaran kondom: Mahu pelajar buat keputusan bertanggungjawab

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Logo SRC UTAR Kampus Sungai Long, Voice of Youtharian (VOY), dan Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC).
  • Menurut SRC UTAR Kampus Sungai Long, Voice of Youtharian (VOY), dan Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC), pemberian kondom itu juga bukanlah satu amalan yang baharu di peringkat global.
  • Sejak Sukan Olimpik Seoul 1988, pengedaran kondom telah dilaksanakan sebagai sebahagian strategi pencegahan HIV oleh institusi utama antarabangsa.
  • Malaysia tidak kebal daripada risiko sama.
  • Kempen ini bukan mencipta krisis, ia sebaliknya mengakui hakikat bahawa krisis tersebut sudah pun berlaku di sekeliling kita (termasuk isu jangkitan HIV).

KUALA LUMPUR — Susulan bantahan dibangkitkan terhadap penganjuran ‘Minggu Kesaksamaan Jantina’ di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long baru-baru ini, Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UTAR tampil menerangkan bahawa pengedaran kondom semasa kempen tersebut merupakan satu intervensi kesihatan awam, dan bukan bertujuan mempromosikan sebarang gaya hidup tertentu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan SRC UTAR Kampus Sungai Long, Voice of Youtharian (VOY), dan Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC), mereka menjelaskan langkah itu bertujuan untuk melengkapkan mahasiswa dengan pengetahuan dan alat bagi membuat keputusan yang berinformasi dan bertanggungjawab.

Menurut mereka, pemberian kondom itu juga bukanlah satu amalan yang baharu di peringkat global.

Sebaliknya, sejak Sukan Olimpik Seoul 1988, pengedaran kondom telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan HIV oleh institusi utama antarabangsa.

“Malaysia juga tidak kebal daripada risiko yang sama.

“Keputusan untuk mengedarkan kondom semasa kempen ini, yang dijalankan dengan kerjasama entiti profesional dan bertauliah, adalah satu intervensi kesihatan awam yang berlandaskan amalan terbaik yang telah terbukti.

“Ia sama sekali bukan bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup tertentu,” kata mereka dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang disiarkan di Facebook SRC UTAR Sungai Long Campus.

Tambah mereka, universiti sebagai tempat medan ilmu dan pemerkasaan perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam isu sebegini, dan bukan menjadi institusi yang menafikan realiti sedang berlaku.

“Kempen ini bukan mencipta krisis yang tidak wujud, ia sekadar mengakui hakikat bahawa krisis tersebut sudah pun berlaku di sekeliling kita (termasuk isu jangkitan HIV),” katanya.

Sebelum ini, satu petisyen telah dilancarkan oleh sekumpulan pihak berkepentingan UTAR, termasuk pelajar, alumni, ahli fakulti dan pemegang taruh yang mendesak agar pihak SRC menghentikan promosi penggunaan kondom, gerakan pembebasan seksual serta agenda seksualiti pelbagai (LGBTQ+) di dalam kampus.

Surat terbuka itu menyatakan antara sebab bantahan disuarakan adalah kerana kebanyakan pelajar UTAR terdiri daripada kelompok muda yang belum berkahwin, maka apabila wujud promosi penggunaan kondom secara terbuka ia boleh dianggap sebagai sokongan terbuka terhadap seks pranikah.

Perkara itu dikatakan jelas bercanggah ajaran moral bahawa hubungan seksual sepatutnya berlandaskan komitmen perkahwinan, selain ia melanggar nilai diterima secara meluas merentas agama dan budaya sama ada prinsip kesetiaan dalam agama Kristian, larangan seks luar nikah dalam Islam, larangan terhadap salah laku seksual dalam ajaran Buddha, mahupun etika kesopanan dan pengendalian diri dalam ajaran Konfusianisme. — The Merdeka Times

Author