Terkini
MCA persoal keadilan program Rakan KKM, Tuntut penjelasan Kerajaan

- “Mengapakah dasar yang dicadangkan oleh kerajaan ini seolah-olah mendahulukan golongan maha kaya?
- “Bukankah sektor kesihatan awam seharusnya berteraskan prinsip keadilan sosial, membantu golongan kurang berkemampuan dan memastikan semua rakyat mendapat akses rawatan yang sama rata?” tambahnya.
- Beliau menegaskan kerajaan harus menjamin program Rakan KKM tidak akan mengabaikan pesakit biasa di hospital awam yang saban hari terpaksa berdepan masa menunggu yang lama.
KUALA LUMPUR – Ketua Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er, mempersoalkan keadilan dan hala tuju cadangan program Rakan KKM yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci bagi meredakan kebimbangan rakyat.
Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau menyatakan kekhuatiran bahawa inisiatif tersebut mungkin menyerupai pendekatan ‘SATU’ di universiti awam, yang mana mereka yang mampu membayar lebih diberi kelebihan untuk menyertai program tertentu.
“Adakah Rakan KKM ini mengamalkan konsep yang sama? Siapa yang mampu bayar, akan diberi rawatan sedangkan yang tidak berkemampuan akan terus menunggu?” soal Chan.
Chan turut mempersoalkan sama ada pendekatan ini adil kepada rakyat biasa, khususnya dalam sistem kesihatan awam yang sedia padat dan terbatas.
“Mengapakah dasar yang dicadangkan oleh kerajaan ini seolah-olah mendahulukan golongan maha kaya?
“Bukankah sektor kesihatan awam seharusnya berteraskan prinsip keadilan sosial, membantu golongan kurang berkemampuan dan memastikan semua rakyat mendapat akses rawatan yang sama rata?” tambahnya.
Beliau menegaskan kerajaan harus menjamin bahawa program Rakan KKM tidak akan mengabaikan pesakit biasa di hospital awam yang saban hari terpaksa berdepan masa menunggu yang lama.
“Adakah KKM dapat menjamin keadilan itu?” soalnya, sambil merujuk kepada tempoh menunggu yang berjam-jam untuk rawatan, berbulan-bulan bagi temu janji pakar dan bertahun-tahun untuk pembedahan elektif.
Chan turut melontarkan persoalan sama ada program itu hanyalah langkah kerajaan untuk mencari dana tambahan bagi menampung hutang negara yang kini mencecah RM1.3 trilion.
“Kerajaan begitu terdesak mencari pendapatan tambahan sehingga sanggup mengambil langkah yang boleh menambah jurang antara golongan maha kaya dan miskin?” sindirnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan di manakah kedudukan nilai teras Malaysia MADANI, khususnya prinsip Ihsan, dalam dasar ini.
“Ihsan menunjukkan belas kasihan dan kepedulian terhadap nasib semua pihak melalui tindakan yang memberdayakan. Di manakah ia?” tanya Chan.
Chan juga mempersoalkan sama ada Menteri Kesihatan benar-benar memahami atau bergerak seiring dengan perjuangan YAB Perdana Menteri menerusi nilai MADANI yang dijulang.
“Tanpa penjelasan yang telus dan terperinci daripada kerajaan, langkah ini akan terus ditafsir sebagai satu lagi dasar yang memihak kepada mereka yang berduit, sekaligus mencalar kepercayaan rakyat terhadap reformasi dan nilai MADANI yang dijulang kerajaan hari ini,” katanya mengakhiri kenyataan.
Rakan KKM adalah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan hospital dan klinik KKM untuk semua rakyat Malaysia dengan menggabungkan kerjasama antara pesakit, pasukan penjagaan kesihatan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta dimudahcara oleh Kementerian Kewangan melalui inisiatif GEAR-uP.
Teras utama Rakan KKM adalah komitmen teguh untuk terus mengekalkan dan meningkatkan akses penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik untuk semua yang mana hanya bayaran minimum diperlukan untuk mengakses perkhidmatan KKM. -The Merdeka Times
