Connect with us

Terkini

Mahkamah tolak majoriti permohonan saman ibu bapa Hindu terhadap Firdaus Wong

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pendakwah Bebas, Firdaus Wong
  • Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak lima daripada tujuh permohonan saman pemula oleh lapan ibu bapa terhadap Firdaus Wong, berhubung satu video kontroversi bertajuk “Saya takut mati luar Islam”.
  • “Itu bermaksud saya tidak membuat gangguan kepada kesemua pemohon dan tidak mengugat keamanan, ketenteraman serta perpaduan negara. Saya ejen keamanan, ketenteraman serta perpaduan negara,” katanya.
  • Beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan pengesahan bahawa tindakannya selaras dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan

 

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak lima daripada tujuh permohonan saman pemula oleh lapan ibu bapa terhadap beliau, berhubung satu video kontroversi bertajuk “Saya takut mati luar Islam”.

Dalam kenyataan di Facebook, Firdaus berkata antara permohonan yang ditolak ialah permintaan agar mahkamah mengisytiharkan videonya sebagai suatu gangguan (nuisance) kepada para pemohon dan berpotensi menggugat keamanan, ketenteraman serta perpaduan negara.

“Itu bermaksud saya tidak membuat gangguan kepada kesemua pemohon dan tidak mengugat keamanan, ketenteraman serta perpaduan negara. Saya ejen keamanan, ketenteraman serta perpaduan negara,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YA Dato’ Amarjeet Singh juga turut menolak permohonan injunksi yang bertujuan menghalang Firdaus, ejen atau pekerjanya daripada melakukan usaha untuk mengislamkan kanak-kanak bukan Islam bawah umur.

Firdaus Wong menyatakan bahawa beliau menghormati keputusan mahkamah serta para ibu bapa yang terlibat.

Namun beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan pengesahan bahawa tindakannya selaras dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mereka akan menjadikan kes Beatrice AT Fernandez v Sistem Penerbangan Malaysia & Others (2005) sebagai kes rujukan (precedent case).

“Insya Allah, jikalau perlu, saya akan meneruskan perjuangan ini hatta sehingga ke Mahkamah Persekutuan demi melindungi hak umat Islam yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kes ini berpunca daripada satu video dimuat naik oleh Firdaus pada Jun tahun lalu yang memberi arahan kepada seorang lelaki berhubung cara mengendalikan permintaan seorang kanak-kanak bawah umur untuk memeluk Islam secara rahsia.

Video itu mencetuskan kecaman awam dan beberapa laporan polis telah dibuat. Polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Para ibu bapa terbabit memfailkan saman mereka pada 18 Julai 2024, dengan permohonan bagi deklarasi dan injunksi terhadap tindakan Firdaus Wong. -The Merdeka Times

Author