Connect with us

Terkini

Kelantan masih ketinggalan kerana halangan persekutuan, Bukan gagal merancang – Nik Amar

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah
  • Nik Amar turut menyentuh tentang ketiadaan pelabuhan di negeri itu meskipun berada di pesisir pantai timur, sedangkan kemudahan pelabuhan mampu melonjakkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.
  • “Bukan kerana kita tidak pernah merancang… Tetapi jawapan daripada Kerajaan Persekutuan tetap sama. Tiada kelulusan, tiada peruntukan,” jelasnya.
  • Nik Amar mendakwa ramai pelabur dalam dan luar negara menyatakan minat untuk melabur di Kelantan, namun berdepan halangan birokrasi apabila menyebut lokasi pelaburan ialah Kelantan.
  • Permohonan mereka sering dilambatkan atau ditolak tanpa alasan munasabah.

 

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, menegaskan bahawa kelewatan pembangunan ekonomi di Kelantan bukan berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri, tetapi akibat kekangan politik dan ketiadaan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan selama ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menarik perhatian bahawa Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang masih belum mempunyai lebuh raya bertol seperti negeri-negeri lain.

Dua projek sedia ada iaitu Lebuh Raya CSR (Kuala Krai–Karak) dan Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) hanyalah naik taraf jalan persekutuan dan dibina secara berperingkat.

Nik Amar turut menyentuh tentang ketiadaan pelabuhan di negeri itu meskipun berada di pesisir pantai timur, sedangkan kemudahan pelabuhan mampu melonjakkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.

“Bukan kerana kita tidak pernah merancang… Tetapi jawapan daripada Kerajaan Persekutuan tetap sama. Tiada kelulusan, tiada peruntukan,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan keupayaan kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur besar tanpa sokongan pusat, malah hasil royalti petroleum turut dinafikan.

Beliau juga membidas persepsi yang mengatakan pentadbiran PAS hanya menumpukan kepada isu agama semata-mata.

“Islam itu sendiri adalah satu sistem yang sempurna… yang membimbing bagaimana negeri ditadbir, ekonomi diurus, rakyat dibela dan peluang diperluaskan,” ujarnya.

Menyentuh isu pelaburan, Nik Amar mendakwa ramai pelabur dalam dan luar negara menyatakan minat untuk melabur di Kelantan, namun berdepan halangan birokrasi apabila menyebut lokasi pelaburan ialah Kelantan.

Permohonan mereka sering dilambatkan atau ditolak tanpa alasan munasabah.

Beliau menegaskan bahawa hanya setelah PAS berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, barulah banyak projek mula diberi perhatian  antaranya pembesaran lapangan terbang, pelaksanaan Lebuh Raya CSR, serta pembangunan pelabuhan dan projek ECRL.

Nik Amar turut berharap dengan semangat federalisme yang berterusan, Kelantan akan terus bangkit dan menjadi negeri yang bukan sahaja kaya dengan nilai, tetapi juga makmur dari segi ekonomi.

“Langkah kita tetap tersusun. Dan InsyaAllah, jika diberi masa, Kelantan akan muncul sebagai negeri yang Makmur,” tulisnya. -The Merdeka Times

 

Author