Connect with us

Terkini

‘Jual arak di sekolah langkah mundur, KPM jangan diam diri’ – Dewan Ulamak PAS Johor

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Keratan artikel berkaitan majlis lelongan arak yang diadakan di sekolah rendah Pontian.
  • DUPNJ sifatkan aktiviti jual arak di sekolah satu langkah mundur ke belakang serta penghinaan terhadap usaha para pendidik dan pencinta ilmu.
  • Ia membuktikan benteng moral masyarakat sedang dirobek tanpa segan silu.
  • Peristiwa ini satu bentuk pelanggaran terhadap prinsip asas pendidikan dalam Islam, yang menjadikan ilmu jalan dekatkan diri kepada Allah dan membentuk insan berakhlak mulia.
  • DUPNJ gesa KPM bertindak segera dan tidak berdiam diri.

KUALA LUMPUR — Dewan Ulamak PAS Negeri Johor (DUPNJ) meluahkan rasa kesal dan bimbang dengan pelaksanaan aktiviti lelongan minuman keras di dewan sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini.

DUPNJ dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan aktiviti menjual arak di sekolah adalah satu langkah mundur ke belakang serta penghinaan terhadap usaha para pendidik dan pencinta ilmu.

Tambahnya, perkara itu bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi pendidikan, malah membuktikan bahawa benteng moral masyarakat sedang dirobek tanpa segan silu.

“Peristiwa ini adalah satu bentuk pelanggaran terhadap prinsip asas pendidikan dalam Islam, yang menjadikan ilmu sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah dan membentuk insan yang berakhlak mulia.

“Sekolah adalah tempat menyuburkan akidah, memupuk adab dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat bukan medan promosi kepada perkara yang diharamkan oleh Allah SWT,” katanya.

DUPNJ turut menegaskan bahawa sekolah bukannya tempat yang boleh dikompromi seperti sedemikian, sekali gus pihaknya menolak keras sebarang bentuk penganjuran acara bercanggah syariat dan akhlak Islam di premis pendidikan.

Justeru, DUPNJ menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk bertindak segera dalam hal ini, serta mengingatkan kementerian itu bahawa ia tidak boleh berdiam diri.

“Penjelasan rasmi perlu dikemukakan berkenaan insiden ini, jika berlaku kelalaian atau kebenaran tanpa semakan yang rapi, maka tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“DUPNJ juga menyeru agar Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menyemak dan memperketat garis panduan penyewaan serta penggunaan fasiliti sekolah.

“Ketegasan perlu ada agar premis ilmu ini tidak dinodai atas nama ‘program luar’,” katanya yang turut meminta guru besar, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), surau sekolah, para guru dan masyarakat sekeliling agar tidak membiarkan sekolah menjadi tempat tercemarnya nilai-nilai Islam akibat kelalaian atau ketidakpedulian.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dewan Ulamak PAS Negeri Johor (DUPNJ).

Sebelum ini, media melaporkan satu majlis lelongan harga minuman keras telah diadakan di sebuah dewan sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian pada minggu lalu.

Majlis yang berlangsung itu bagaimanapun dilapor bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas kerana tidak berpuas hati dengan harga lelongan minuman keras ditawarkan penganjur yang menyaksikan berlakunya penahanan ke atas 18 lelaki berusia antara 17 hingga 48 tahun.— The Merdeka Times

Author