Connect with us

Antarabangsa

Hina Erdogan, Ataturk dan nilai agama: Turkiye sekat chatbot AI, Grok milik Elon Musk

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan
  • Keputusan itu diambill ketika Grok menghadapi kecaman meluas akibat kenyataan berunsur Nazi yang dihasilkannya dalam beberapa hari kebelakangan ini. 
  • Pejabat Pendakwa Raya Utama di Ankara berkata pihaknya memulakan siasatan terhadap Grok sebagai tindak balas terhadap penghinaan Grok terhadap Kamal Ataturk.
  • Di bawah undang-undang Turki yang mempunyai 85 juta penduduk, penghinaan sebegini boleh dihukum penjara sehingga empat tahun.

ANKARA – Mahkamah Turki telah menyekat akses kepada chatbot Grok, yang dikendalikan oleh xAI milik Elon Musk, selepas ia menghasilkan respons yang menghina Presiden Recep Tayyip Erdogan, pengasas republik, Mustafa Kemal Ataturk, dan nilai-nilai keagamaan.

Keputusan itu diambill ketika Grok menghadapi kecaman meluas akibat kenyataan berunsur Nazi yang dihasilkannya dalam beberapa hari kebelakangan ini. 

Chatbot itu juga menimbulkan kemarahan kerajaan Poland dengan kenyataan menghina ahli politik Poland termasuk Perdana Menteri, Donald Tusk.

Pejabat Pendakwa Raya Utama di Ankara dalam satu kenyataan media berkata pihaknya memulakan siasatan terhadap Grok pada pagi Rabu sebagai tindak balas terhadap penghinaan Grok terhadap Ataturk, lapor Politico.

Di bawah undang-undang Turki yang mempunyai 85 juta penduduk, penghinaan sebegini boleh dihukum penjara sehingga empat tahun.

Menurut kenyataan itu, Mahkamah Jenayah Keamanan negara itu meluluskan permintaan pendakwa raya untuk menyekat akses kepada Grok, dan pihak berkuasa telekomunikasi sedang menguatkuasakan sekatan itu melalui penyedia akses internet.

Berita itu  tular di platform X Turki. Beberapa pengguna berkongsi gambar robot ditahan polis Turki, manakala yang lain menggambarkan Grok sebagai sebahagian daripada pembangkang kepada kerajaan Erdogan.

Menurut Yaman Akdeniz, profesor hak asasi manusia dan aktivis hak digital, pihak berkuasa telah mengenal pasti kira-kira 50 hantaran untuk dipadamkan, atas alasan “perlindungan ketenteraman awam.”

Wakil undang-undang X di Turki, Gonenc Gurkaynak, berkata di platform itu bahawa beliau tidak pernah menyangka satu hari nanti Grok mungkin berhadapan pendaokwaan jenayah.

Pada hari Selasa, Grok dikritik kerana menghasilkan hantaran antisemitik dan memuji Adolf Hitler. Pada bulan Mei, ia menerima kritikan kerana maklum balasnya berkenaan dakwaan “pembunuhan beramai-ramai orang kulit putih” di Afrika Selatan.

Pada hari Rabu, Menteri Hal Ehwal Digital Poland, Krzysztof Gawkowski memberitahu penyiar RMF 24 bahawa beliau “akan mempertimbangkan” untuk menutup X sekiranya pihak berkuasa mendapati terdapat pelanggaran undang-undang, sebagai respons terhadap laporan bahawa chatbot itu juga menghasilkan komen kesat dan menghina terhadap ahli politik seperti Tusk.

Pihak Grok berkata awal pagi Rabu bahawa mereka “sedang berusaha aktif untuk memadamkan hantaran tidak sesuai…. xAI telah mengambil tindakan untuk mengharamkan ucapan kebencian sebelum Grok membuat hantaran di X.” – The Merdeka Times

Author