Terkini
Tarian bogel dan ritual ‘Rebirth’ di program eHati didedah

- Program eHati di IDCC Shah Alam didakwa menganjurkan sesi tertutup wanita yang melibatkan suasana mencurigakan
- Diyana Tahir didakwa menari dalam keadaan berbogel di hadapan peserta, dengan peserta turut diajak menyertai.
- Peserta didakwa diberi minuman dipanggil “Piya”, yang dikatakan memberi kesan berahi dan ghairah selepas diminum.
- Upacara “Rebirth” atau Sacred Bath dilakukan, di mana peserta diminta menanggalkan pakaian dan dimandikan dengan tuala basah secara simbolik.
- Masyitah mendakwa unsur-unsur dalam sesi tersebut menyerupai ritual agama sesat/New Age dan telah membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa, namun belum ada tindakan diambil.
SHAH ALAM, 11 Julai – Seorang pengguna media sosial, Masyitah Ashari mendedahkan secara terperinci apa yang didakwanya sebagai aktiviti tidak bermoral dan bercanggah dengan akidah Islam yang berlaku dalam sebuah program pembangunan kendiri dikenali sebagai eHati, yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September 2024.
Menurut pendedahan yang dibuat dalam satu hantaran di Facebook, insiden kontroversi itu berlaku pada malam terakhir program, iaitu pada 30 September, semasa sesi tertutup khas yang dikenali sebagai Queen Session, yang dihadiri kira-kira 50 peserta wanita.
Masyitah mendakwa suasana sesi tersebut berubah menjadi mencurigakan apabila fasilitator program, termasuk beberapa individu bergelar “Cleopatra”, masuk ke dewan dalam suasana lampu malap diiringi muzik romantik.
Tidak lama kemudian, pengasas eHati, Diyana Tahir, muncul dalam keadaan tidak bertudung dan berpakaian seksi, sebelum menanggalkan pakaiannya dan menari di hadapan peserta, menimbulkan rasa tergamam dan tidak selesa dalam kalangan mereka.
Dakwanya lagi, peserta turut diberi minum sejenis minuman yang dipanggil “Piya”, yang dikatakan dapat menimbulkan rasa berani dan ghairah selepas diminum.
Selepas itu, beberapa fasilitator wanita didakwa menari secara mengghairahkan dan berkelakuan tidak senonoh, termasuk melakukan aksi berunsur seksual sesama wanita di hadapan peserta.
Lebih mengejutkan, menurut Masyitah, upacara simbolik membuang masalah dilakukan dengan cara mencampak pakaian termasuk pakaian dalam ke hadapan dewan.
Dakwanya, ada peserta yang memilih untuk membuka pakaian dan berbogel sepenuhnya sebagai tanda ‘membuang masalah dalam diri’.
Upacara kemuncak malam itu, menurut hantaran tersebut, dikenali sebagai Sacred Bath atau Rebirth (lahir semula), di mana seorang model wanita didemonstrasikan secara berbogel, dibaringkan dan dilap seluruh badannya dengan tuala basah.
Upacara tersebut didakwa menggambarkan proses kelahiran semula dan pembersihan spiritual yang menyerupai amalan keagamaan tertentu.
Masyitah menyifatkan tindakan tersebut sebagai bertentangan dengan batas aurat dan akhlak Islam, serta menyerupai ritual ajaran sesat yang dipengaruhi oleh fahaman New Age Movement.
Beliau turut mempersoalkan keberadaan program itu yang dijalankan tidak jauh dari pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tanpa sebarang tindakan diambil setakat ini.
Menurut beliau, aduan rasmi beserta bukti telah pun diserahkan kepada pihak berkuasa, dan isu ini juga telah dibangkitkan oleh aktivis pendidikan, Cikgu Fadli Salleh sejak dahulu lagi, namun belum ada sebarang tindakan lanjut diambil.
Masyitah turut menegaskan bahawa kandungan sebenar minuman “Piya” juga masih belum didedahkan dan perlu disiasat kerana dipercayai memainkan peranan dalam mempengaruhi emosi dan tindakan peserta secara drastik.-The Merdeka Times
