Terkini
Doktor dedah punca ramai pegawai perubatan tinggalkan KKM

- Menurut Dr Suhazeli Abdullah, apabila sektor swasta baik dalam mahupun luar negara menawarkan gaji yang lebih tinggi, ia menjadi tarikan utama kepada doktor-doktor muda untuk berhijrah dari perkhidmatan awam.
- “Naikkan lagi tangga gaji mereka atau setidak-tidaknya perjawatan yang semakin mengecil itu diperluaskan lagi. Tidak berada di takuk lama yang tidak naik pangkat sampai melebihi 10 tahun. Sedangkan janjinya adalah 5 tahun sebagai time based,” tambahnya.
KUALA LUMPUR – Seorang pengamal perubatan dan aktivis kesihatan, Dr Suhazeli Abdullah, berkongsi pandangan peribadinya di Facebook mengenai mengapa semakin ramai doktor memilih untuk meninggalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya demi mengejar financial freedom atau kebebasan kewangan.
Dalam hantaran tersebut, beliau menceritakan pengalamannya sendiri pada awal kerjaya sebagai pegawai perubatan dengan gaji permulaan sekitar RM1,700, yang menyebabkan beliau terdorong untuk melakukan kerja-kerja sambilan seperti lokum.
“Saya rajin buat lokum. Satu sesi pagi RM50, petang RM50, malam biasanya lebih sikit RM60 / RM70. Tapi, itulah kepuasan untuk mendapatkan duit. Tak akan selalu puas. Manusia ni dapat satu lembah emas sekali pun akan cari lembah emas yang lain demi mencapai financial freedom,” tulisnya.
Walaupun kini bergelar pakar perubatan, beliau mengakui masih dibebani komitmen kewangan seperti kos membesarkan anak-anak serta bayaran bulanan kereta dan rumah.
“Jadi bebannya tinggi, masih lagi tidak dapat melepasi financial freedom,” katanya.
Menurut Dr Suhazeli, apabila sektor swasta baik dalam mahupun luar negara menawarkan gaji yang lebih tinggi, ia menjadi tarikan utama kepada doktor-doktor muda untuk berhijrah dari perkhidmatan awam.
“Sudah pasti anak-anak muda yang sebaya dengan saya dahulu 30 tahun yang lalu akan juga berfikiran yang sama. Ingin dapatkan duit lebih bagi menampung kehidupan yang semakin mencabar. Harga barang semakin naik!” jelas beliau.
Tambahnya, doktor yang sudah menamatkan latihan kepakaran dan memperoleh pengesahan sebagai pakar turut melihat sektor swasta sebagai pilihan lebih menguntungkan.
“Jadi jumlah tawarannya makin tinggi,” ujar beliau.
Dr Suhazeli turut menyeru kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap kebajikan pegawai perubatan awam dengan menambah baik struktur gaji dan peluang kenaikan pangkat.
“Naikkan lagi tangga gaji mereka atau setidak-tidaknya perjawatan yang semakin mengecil itu diperluaskan lagi. Tidak berada di takuk lama yang tidak naik pangkat sampai melebihi 10 tahun. Sedangkan janjinya adalah 5 tahun sebagai time based,” tambahnya.
Untuk rekod, purata tiga doktor meninggalkan perkhidmatan awam setiap hari sejak lima tahun lalu, statistik yang disifatkan membimbangkan.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) 6,417 pegawai perubatan kekal serta kontrak meletak jawatan antara 2019 dan 2023.
Seramai 1,046 pakar meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama, dengan 63 daripadanya memilih bersara awal selepas mencapai usia 50 tahun.
Antara sebabnya termasuk peluang lebih baik dalam sektor swasta, bersara awal, isu kesihatan, sebab peribadi, peralihan kerjaya untuk mengajar dan kekurangan sokongan profesional.-The Merdeka Times
