Antarabangsa
Calon Duta AS ke Malaysia baharu pilihan Trump: Tidak berpengalaman dan kurang diplomasi?

- Pandangan itu disuarakan Joshua Kurlantzick, pakar Asia Tenggara dari Council on Foreign Relations yang dilaporkan ABC News berhubung pemilihan Adams oleh Presiden AS, Donald Trump sebagai calon Duta Amerika Syarikat ke Malaysia.
- “Negara-negara Asia Tenggara, kecuali mungkin Filipina, lebih gemar menyelesaikan hal diplomatik… dengan cara yang tenang dan berhikmah.
- “Ia adalah satu pelantikan yang berpotensi bermasalah. Ia menunjukkan bahawa Trump tidak menghargai perkhidmatan luar… dan kemungkinan besar tidak akan diterima baik di Malaysia,” kata Kurlantzick.
WASHINGTON – Calon Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baru, Nick Adams dikatakan hampir tiada pengalaman dilihat sebagai satu “tamparan kepada Malaysia” dan sifat Adams yang “lantang dan bombastik” mungkin tidak sesuai dengan gaya diplomasi rantau ini.
Pandangan itu disuarakan Joshua Kurlantzick, pakar Asia Tenggara dari Council on Foreign Relations yang dilaporkan ABC News berhubung pemilihan Adams oleh Presiden AS, Donald Trump sebagai calon Duta Amerika Syarikat ke Malaysia.
ABC News melaporkan hubungan antara AS dan Malaysia kini dikatakan tegang, sebahagiannya disebabkan oleh sokongan Amerika terhadap perang Israel di Gaza, tarif yang dikenakan Trump, serta hubungan Malaysia yang semakin erat dengan China.
“Jadi, keseluruhan hubungan ini sudah berada dalam keadaan negatif sebelum kita bercakap soal siapa duta itu,” kata Kurlantzick.
“Negara-negara Asia Tenggara, kecuali mungkin Filipina, lebih gemar menyelesaikan hal diplomatik… dengan cara yang tenang dan berhikmah.
“Ia adalah satu pelantikan yang berpotensi bermasalah. Ia menunjukkan bahawa Trump tidak menghargai perkhidmatan luar… dan kemungkinan besar tidak akan diterima baik di Malaysia,” katanya.
Adams, seorang bekas ahli majlis perbandaran di Sydney yang kini menjadi pempengaruh MAGA (Make America Great Again), dan pernah berdepan tindakan penggantungan daripada Parti Liberal kerana memaki seorang wartawan TV.
Beliau pernah menjadi tajuk utama akhbar ketika beliau menjadi timbalan datuk bandar muda di majlis perbandaran Ashfield, Sydney, apabila mencadangkan agar semua burung merpati di kawasan itu dihapuskan untuk mengelakkan penyebaran selesema burung.
Parti Liberal mengambil keputusan untuk menggantungnya selepas beliau dirakam memaki seorang wartawan Channel Ten yang melaporkan kehadirannya yang kerap ponteng mesyuarat majlis pada tahun 2009.
Lebih 15 tahun kemudian, kini berusia 40 tahun, beliau telah menjadi warganegara Amerika Syarikat dan seorang pengulas MAGA, yang menjenamakan dirinya sebagai “alpha male” dan “pemimpin pemikiran budaya”.
Akaun X (Twitter) beliau — yang kadang-kadang sukar membezakan antara semangat ikhlas dan sindiran — dipenuhi dengan pujian terhadap Trump, yang digambarkannya sebagai “individu kegemarannya”.
Dalam hantaran lain, beliau menyenaraikan ciri-ciri “calon teman wanita” pilihannya, termasuk “tidak pernah menyampuk saya” dan “memahami serta menyokong cara hidup alpha male saya”.
Beberapa ciapan di platform X beliau menyatakan cintanya terhadap restoran rangkaian Hooters, yang kadangkala digelar “breastaurant” kerana secara terang-terangan mengupah pelayan wanita berdada besar dengan pakaian ketat dan seluar pendek.
Pelantikan Adams sebagai duta masih perlu disahkan oleh Senat AS. – The Merdeka Times
