Terkini
AS gerakkan usaha diplomatik untuk kehadiran Trump di Sidang Kemuncak ASEAN Oktober Ini

- Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata pentadbiran AS sedang berusaha untuk memuktamadkan tarikh yang sesuai bagi penglibatan Trump dalam mesyuarat peringkat tinggi yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
- Kali terakhir Presiden AS menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS di Kuala Lumpur adalah Barack Obama pada November 2015.
KUALA LUMPUR — Amerika Syarikat (AS) telah menggerakkan usaha diplomatik bagi membolehkan Presiden Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata pentadbiran AS sedang berusaha untuk memuktamadkan tarikh yang sesuai bagi penglibatan Trump dalam mesyuarat peringkat tinggi yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Kami sedang berusaha menetapkan tarikh untuk perkara itu (kehadiran Trump), sudah tentu,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Khamis ketika ditanya kemungkinan Trump akan bersama pemimpin serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN.
Rubio kini berada di ibu negara untuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi ASEAN bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang dihoskan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 juga dijadualkan berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober.
Kali terakhir Presiden AS menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS di Kuala Lumpur adalah Barack Obama pada November 2015. -BERNAMA
