Antarabangsa
65 negara masih haramkan LGBTQ termasuk Malaysia

- Menurut data daripada Human Dignity Trust, undang-undang yang melarang perbuatan homoseksual masih berkuat kuasa terutamanya di negara-negara Afrika, Asia, dan Timur Tengah.
- Hukuman yang dikenakan berbeza mengikut negara, daripada penjara selama dua tahun, penjara seumur hidup hingga hukuman mati.
- Negara-negara seperti Brunei, Iran, Mauritania, Nigeria (wilayah utara), Arab Saudi, Uganda dan Yaman antara yang mengenakan hukuman mati terhadap kesalahan itu, sama ada secara langsung melalui undang-undang atau dalam amalan kehakiman.
GENEVA – Satu laporan antarabangsa mendedahkan bahawa hubungan sejenis masih dianggap sebagai kesalahan jenayah di sekurang-kurangnya 65 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Menurut data daripada Human Dignity Trust yang dilaporkan PinkNews, undang-undang yang melarang perbuatan homoseksual masih berkuat kuasa terutamanya di negara-negara Afrika, Asia, dan Timur Tengah.
Hukuman yang dikenakan berbeza mengikut negara, daripada penjara selama dua tahun, penjara seumur hidup hingga hukuman mati.
Negara-negara seperti Brunei, Iran, Mauritania, Nigeria (wilayah utara), Arab Saudi, Uganda dan Yaman dikenal pasti sebagai antara yang mengenakan hukuman mati terhadap kesalahan ini, sama ada secara langsung melalui undang-undang atau dalam amalan kehakiman.
Perkembangan terbaru turut menyaksikan Mali meluluskan kod jenayah baharu pada Disember 2024 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi hubungan sejenis.
Pada Mac 2025, Trinidad dan Tobago telah memulihkan undang-undang lama yang mengharamkan hubungan sejenis melalui keputusan Mahkamah Rayuan.
Terdapat juga laporan bahawa sesetengah undang-undang berkaitan turut meliputi perbuatan seperti penyamaran identiti atau pemakaian silang jantina, yang dalam sesetengah negara boleh membawa kepada pertuduhan jenayah.
Di Malaysia, terdapat undang-undang sivil dan syariah di mana undang-undang sivil melalui Seksyen 377 Kanun Keseksaan menetapkan hukuman penjara untuk suatu tempoh yang boleh berlanjutan sehingga 20 tahun dan sebatan, bagi kesalahan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Setakat Julai 2025, statistik menunjukkan lebih 30 peratus negara di dunia masih mempunyai undang-undang yang mengharamkan hubungan sejenis, manakala selebihnya sama ada telah memansuhkan larangan tersebut atau tidak pernah menguatkuasakannya secara rasmi. – The Merdeka Times
