Connect with us

Terkini

Pengetua Sekolah Cina letak jawatan susulan kes gangguan seksual

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Keratan artikel berkaitan gangguan seksual pelajar di sekolah menengah persendirian cina.
  • Lembaga Sekolah Menengah Keat Hwa dalam satu kenyataan mengumumkan yang pengetua sekolah, Chang Siew Hong telah berhenti atas faktor kesihatan, manakala naib pengetua Khor Chee Beng melepaskan jawatannya sementara siasatan berjalan.
  • Sebagai respons, pihak sekolah dan lembaga pengurusan menubuhkan satu pasukan tugas pemantauan diketuai ahli lembaga kanan bagi memastikan pentadbiran sekolah dan pembelajaran pelajar tidak terjejas.
  • Polis dilapor berkata pihaknya menerima tujuh laporan ke atas guru terbabit dengan enam daripadanya dibuat bekas pelajar.

KUALA LUMPUR —Pengetua Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) di Kedah telah meletak jawatan susulan dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang guru lelaki di sekolah berkenaan.

Naib pengetua sekolah tersebut turut berundur buat sementara waktu bagi menunggu siasatan dijalankan, lapor portal berita Malaysiakini.

Lembaga Sekolah Menengah Keat Hwa dalam satu kenyataan mengumumkan yang pengetua sekolah, Chang Siew Hong telah berhenti atas faktor kesihatan, manakala naib pengetua Khor Chee Beng melepaskan jawatannya sementara siasatan berjalan.

Sebagai respons, pihak sekolah dan lembaga pengurusan menubuhkan satu pasukan tugas pemantauan diketuai ahli lembaga kanan bagi memastikan pentadbiran sekolah dan pembelajaran pelajar tidak terjejas.

Selain itu, bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan adil, lembaga pengurusan akan menghantar laporan rasmi kepada Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah China Kedah bagi mencadangkan penubuhan pasukan bebas untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap salah laku pentadbiran di sekolah tersebut.

“Pasukan ini seharusnya terdiri daripada ahli persatuan atau individu yang mempunyai kredibiliti awam. Ahli lembaga sekolah dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak akan terlibat,” menurut kenyataan itu.

Polis dilapor berkata pihaknya menerima tujuh laporan ke atas guru terbabit dengan enam daripadanya dibuat bekas pelajar.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Siti Noor Salawati dilapor memaklumkan siasatan terhadap dua laporan yang  telah selesai dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Pada 19 April lalu, polis menahan guru tersebut susulan aduan pelajar berhubung gangguan seksual. Pihak sekolah kemudian memecatnya serta-merta dan melarang guru berkenaan daripada memasuki kawasan sekolah.

Insiden di Alor Setar itu berlaku selepas dakwaan gangguan seksual di Sekolah Menengah Persendirian Cina di Johor, bulan lalu di mana beberapa bekas pelajar dan pelajar perempuan di Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai mendakwa seorang pelajar tanpa kebenaran telah mengubah suai gambar mereka secara tidak senonoh.

Kemudiannya, muncul pula dakwaan lain mengenai salah laku seksual dan aduan tentang cara pihak sekolah mengendalikan kes-kes sedemikian, melibatkan kampus induk di Johor Bahru dan cawangannya di Kulai.

Di tengah-tengah pelbagai dakwaan salah laku seksual yang berlaku di kawasan sekolah terbabit dan dakwaan salah laku pihak sekolah dalam kes sedemikian, pengetua cawangan sekolah terbabit dilapor meletak jawatan.

Sementara itu, Lembaga pengurusan Sekolah Menengah Keat Hwa juga memutuskan untuk membatalkan program kutipan dana sekolah yang telah dirancang dan mengalihkan sumber serta tenaga kerja ke arah reformasi dan penambahbaikan sekolah, dengan tumpuan penuh bagi melindungi hak pembelajaran pelajar serta memastikan keselamatan di sekolah.

Lembaga pengurusan turut meluahkan rasa dukacita yang mendalam terhadap insiden gangguan seksual tersebut dan yakin undang-undang akan memberikan keadilan sewajarnya.

Pada masa sama, mereka merayu orang ramai dan semua pihak memberikan masa dan ruang secukupnya kepada pihak sekolah melaksanakan pembaharuan dan langkah-langkah keselamatan di sekolah. — The Merdeka Times

Author