Terkini
Pendidikan seks perlu diberi seawal usia lima tahun – Pakar Psikologi Kanak-Kanak

- Pendidikan seks perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun bagi membolehkan mereka memahami perkara asas seperti anggota sulit mereka, perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat.
- Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi, Datin Profesor Dr Mariani Md Nor berkata kanak-kanak perlu diajar mengenali anggota sulit mereka menggunakan istilah yang sebenar supaya mereka tidak keliru jika ada individu berniat berbuat sesuatu dan memanggilnya dengan nama berbeza.
- “Kita dengan anak-anak pun kita perlu tahu bagaimana batasan kita, pelukan bagaimana yang selamat dan tidak selamat, terutama antara seorang ayah dengan anak perempuan yang telah meningkat masuk remaja,” katanya kepada The Merdeka Times.
- Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja mereka perlu diberi pendedahan lebih luas tentang maksud hubungan seks, termasuk hubungan seks tanpa rela, hubungan sah (suami isteri), seks rambang dan kesan hubungan seks yang boleh menyebabkan mengandung atau jangkitan penyakit berbahaya seperti HIV.
KUALA LUMPUR — Pendidikan seks perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun bagi membolehkan mereka memahami perkara asas seperti anggota sulit mereka, perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat.
Ia juga berikutan kanak-kanak kini terdedah secara meluas kepada pelbagai kandungan digital dan media sosial di Internet, tanpa kawalan sepatutnya.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi, Datin Profesor Dr Mariani Md Nor berkata kanak-kanak perlu diajar mengenali anggota sulit mereka menggunakan istilah yang sebenar supaya mereka tidak keliru jika ada individu berniat berbuat sesuatu dan memanggilnya dengan nama berbeza.
Mariani berkata kanak-kanak juga perlu diberitahu tentang jenis sentuhan selamat dan tidak selamat serta siapa yang boleh dan tidak boleh sentuh anggota badan mereka.
“Kanak-kanak kita ajar mereka sentuhan yang tidak selamat itu yang paling penting apabila mereka tahu sentuhan tidak selamat itu berlaku, mereka boleh mengelak darinya.
“Saya pasti apabila mereka membesar, itu (akan menjadi) satu budaya kepada mereka untuk mengatakan tidak dengan begitu assertive sekali.
“Kita dengan anak-anak pun kita perlu tahu bagaimana batasan kita, pelukan bagaimana yang selamat dan tidak selamat, terutama antara seorang ayah dengan anak perempuan yang telah meningkat masuk remaja,” katanya kepada The Merdeka Times.
Jelasnya, apabila kanak-kanak memasuki usia remaja, mereka perlu diberi pendedahan lebih luas tentang maksud hubungan seks, termasuk hubungan seks tanpa rela, hubungan sah (suami isteri), seks rambang dan kesan hubungan seks yang boleh menyebabkan mengandung atau jangkitan penyakit berbahaya seperti HIV.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sama ada kebanyakan gejala seksual awal berlaku dalam kalangan remaja, termasuk peningkatan kes jangkitan HIV disebabkan ada jurang antara usia mereka mula aktif secara seksual dengan waktu pendidikan seks diperkenalkan di sekolah.
Menurut Mariani, isu pendidikan seks tidak boleh dijadikan satu-satunya faktor kes HIV membabitkan kelompok remaja atau kanak-kanak tinggi, berikutan terdapat faktor lain turut menyumbang seperti faktor keluarga, media dan sebagainya.
“Kita tengok dalam keadaan sekarang ini dunia serba maju, tontonan tidak terhad ini yang dikatakan dunia tanpa sempadan apa yang kita nak tonton di YouTube dan di video, kita sebut saja, tulis saja perkataan itu ia akan keluar malah di TikTok sekalipun perbuatan yang boleh merangsang nafsu seseorang itu ada.
“Jadi kalau dah belajar pendidikan seks sekalipun, kalau keinginan melakukan nafsu seksual itu tinggi, kita tidak boleh kawal seseorang itu kecuali faktor lain iaitu kita tahu apa yang haram dan apa yang halal dan bila kita kata haram dan halal pula ialah (ia melibatkan) faktor kekeluargaan.
“Keluarga memainkan peranan penting dalam menanam (didikan) sikap agama, maknanya keimanan itu, orang kata kalau baca Quran dah khatam 10 kali sekalipun kalau desakan nafsu dan iman yang tipis tidak tahu haram dan halalnya maka perkara ini akan berlaku.
“… Asuhan keluarga daripada kecil lagi perlulah kukuh, kemudian keimanan itu perlu disebatikan dalam diri anak itu sejak daripada kecil lagi tahu haram dan halalnya,” katanya.
Tambah beliau, dalam dunia mencabar ini sekalipun ibu bapa perlu bekerja dari pagi hingga ke malam, mereka tetap harus memastikan asuhan didikan anak-anak yang diberikan adalah berkualiti. — The Merdeka Times
