Connect with us

Politik

Gagal paksa PAS gugur perjuangan tegak negara Islam, punca DAP tarik diri daripada Barisan Alternatif

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad
  • Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata yang memutuskan hubungan mereka sebenarnya adalah Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP sendiri apabila bertindak menarik diri dari Barisan Alternatif (BA) pada 22 September 2001.
  • Katanya, PAS kekal tegas sejak dahulu dan di bawah kepemimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Noor keputusan jelas telah dibuat iaitu parti itu tidak akan sesekali menggadaikan prinsip Islam hanya kerana desakan DAP.
  • “Terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) juga berpunca daripada kebencian DAP terhadap perjuangan Islam yang PAS bawa,” katanya.

KUALA LUMPUR — Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendakwa Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menarik diri daripada Barisan Alternatif (BA) selepas parti itu gagal memaksa mereka menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam sebagai asas utama perjuangan PAS.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata yang memutuskan hubungan mereka sebenarnya adalah Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP sendiri apabila bertindak menarik diri daripada Barisan Alternatif (BA) pada 22 September 2001.

Katanya, PAS kekal tegas sejak dahulu dan di bawah kepemimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Noor keputusan jelas telah dibuat iaitu parti itu tidak akan sesekali menggadaikan prinsip Islam hanya kerana desakan DAP.

Tegasnya, prinsip menegakkan negara Islam tetap dipertahankan, walaupun harga dibayar adalah perpecahan gabungan.

“Terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) juga berpunca daripada kebencian DAP terhadap perjuangan Islam yang PAS bawa.

“Bukan lagi rahsia pada 30 April 2014, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dengan angkuhnya menyatakan bahawa PAS tiada tempat dalam PR jika terus memperjuangkan hudud.

“Lim Guan Eng pula pada 10 Disember 2014 mengugut akan memecahkan PR jika PAS terus membawa usul hudud ke Parlimen dan pada 26 Disember 2017, beliau dengan sombong menyatakan bahawa DAP memutuskan hubungan dengan pimpinan PAS selepas pemergian Tuan Guru Nik Aziz.

“Inilah wajah sebenar DAP, menghina perjuangan Islam PAS tanpa rasa malu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata adalah satu pembohongan besar untuk menuduh PAS kononnya “mensucikan” DAP, sedangkan pada hakikatnya PAS yang membuka pekung sikap anti-Islam DAP ke pengetahuan umum.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan artikel bertajuk, “PAS tak boleh ‘move on’ selepas berpisah dengan DAP. Membuak cemburu lihat BN berkawan dengan ‘jandanya’ – Khaled Nordin” yang diterbitkan media tempatan pada Khamis lalu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Idris Ahmad.

Mengulas lanjut, Idris berkata PAS tidak pernah cemburu, sebaliknya mereka tegas dan tidak juga berdendam, namun pada masa sama, tidak melupakan apabila UMNO sendiri, suatu ketika dahulu, menuduh DAP sebagai ancaman terhadap Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja. Kini, mereka pula berpeluk mesra dalam kamar politik yang sama.

“Maka soalnya: siapa sebenarnya yang tidak mampu “move on”? Siapa yang hari ini sanggup menggadai prinsip demi kelangsungan kuasa?

“Jika PAS menolak DAP, itu berlandaskan rekod penentangan DAP terhadap pelaksanaan Syariah, kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam, dan kedegilan DAP mempertikaikan perkara-perkara asas Perlembagaan seperti hak keistimewaan Melayu dan institusi Islam.

“Adakah pendirian tegas ini satu bentuk “penunggang agama”, atau bukti kesetiaan terhadap prinsip perjuangan?,” katanya.

Pada pilihan raya umum 1999, DAP bergabung tenaga dengan PAS, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk Barisan Alternatif, menurut laman web DAP Malaysia.

DAP dikatakan tidak berganjak daripada komitmen bahawa Malaysia harus kekal sebagai negara yang demokratik, sekular dan berbilang agama.

Susulan beberapa perkembangan, terutama desakan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam, DAP telah memecahkan batu asas kerjasama tersebut. DAP menarik diri daripada gabungan tersebut pada 2001.— The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *