Connect with us

Ekonomi

Ekonomi halal dunia cecah USD2.3 trilion, Malaysia penentu standard global – Laporan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Logo Halal
  • Ekonomi Halal dunia telah mencecah USD2.3 trilion pada tahun 2023 dan dijangka melepasi USD5 trilion menjelang 2030, menurut laporan terkini Ravenna Chen, Presiden Eksekutif Intrinsic EO.
  • Menurut laporan itu, Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai pengguna, tetapi juga penentu standard dunia.
  • Antara menjadikan negara ini begitu penting dalam landskap itu, adalah peranan JAKIM sebagai penentu standard global yang telah membina sistem pensijilan halal bukan sahaja sah secara syariah, tetapi juga mematuhi piawaian pengurusan kualiti antarabangsa seperti HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points) dan ISO (International Organization for Standardization).
  • Lebih 70 negara mengiktiraf pensijilan JAKIM, menjadikannya seakan ‘pasport’ global untuk syarikat-syarikat yang ingin menembusi pasaran Muslim.

KUALA LUMPUR — Ekonomi Halal dunia telah mencecah USD2.3 trilion pada tahun 2023 dan dijangka melepasi USD5 trilion menjelang 2030, menurut laporan terkini Ravenna Chen, Presiden Eksekutif Intrinsic EO.

Ia bukan sekadar trend pengguna beragama Islam, tetapi satu sistem ekonomi berasaskan peradaban, nilai, dan kepercayaan yang merentas sempadan budaya dan geografi, lapor Malay Today pada Sabtu.

Menurut laporan itu, Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai pengguna, tetapi juga penentu standard dunia.

Antara menjadikan negara ini begitu penting dalam landskap itu, adalah peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penentu standard global yang telah membina sistem pensijilan halal bukan sahaja sah secara syariah, tetapi juga mematuhi piawaian pengurusan kualiti antarabangsa seperti HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points) dan ISO (International Organization for Standardization).

Setakat ini, dikatakan lebih 70 negara mengiktiraf pensijilan JAKIM, menjadikannya seakan ‘pasport’ global untuk syarikat-syarikat yang ingin menembusi pasaran Muslim.

Laporan itu berkata sebagai negara berbilang kaum dan agama dengan penguasaan pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Cina, Malaysia berada dalam kedudukan unik sebagai pemudah cara yang ideal antara syarikat global dan keperluan budaya pengguna Muslim

Jelasnya, model sosial Malaysia membentuk ekosistem yang amat sesuai bagi pertumbuhan ekonomi halal berasaskan nilai.

Menurut laporan itu juga dalam dunia penuh ketegangan geopolitik, Malaysia kekal dengan dasar berkecuali yang matang di mana hubungan baik dengan kuasa besar seperti China, AS, Arab Saudi, Jepun dan India membolehkan negara ini menjadi pengantara dipercayai dalam kerjasama halal, logistik digital dan pembangunan tenaga hijau. — The Merdeka Times

Author