Terkini
Wanita Orang Asli dapat kebenaran merayu untuk batalkan status penukaran agama

- Panel tiga hakim yang diketuai oleh hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan, sebulat suara berpendapat bahawa kebenaran harus diberikan kerana kes itu memerlukan pertimbangan lanjut beberapa soalan baharu dan penting.
- Dalam saman pemula yang difailkan wanita itu mendakwa beliau tidak pernah memeluk agama Islam kerana tidak pernah melafaz kalimah syahadah, kerana pada 14 Nov 1995 (ketika ibunya membawa dia menukar agama) dia baru berumur dua tahun.
PUTRAJAYA — Mahkamah Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada seorang wanita Orang Asli berusia 32 tahun untuk merayu bagi membatalkan status penukaran agamanya kepada agama Islam.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan, sebulat suara berpendapat bahawa kebenaran harus diberikan kerana kes itu memerlukan pertimbangan lanjut beberapa soalan baharu dan penting.
Beliau berkata antara persoalan utama ialah tafsiran Seksyen 103 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Pahang 1991, satu peruntukan yang belum ditangani oleh Mahkamah Persekutuan.
Hakim Nallini berkata bagi membolehkan peruntukan itu terpakai, mesti ada perintah daripada mahkamah selain Mahkamah Syariah yang memberikan hak penjagaan anak kepada ibu bapa yang memeluk agama Islam.
Beliau berkata dalam kes ini, tiada perintah penjagaan sedemikian atau sebarang perintah lain yang berkaitan, muncul daripada mahkamah sivil. Beliau menambah bahawa isu itu memerlukan perbincangan lanjut tentang bagaimana peruntukan berkenaan ditafsirkan dalam keadaan tiada perintah penjagaan daripada mahkamah sivil.
Hakim Nallini berkata persoalanan lain ialah sama ada status bapa wanita itu sebagai seorang Muslim membayangkan persetujuannya terhadap penukaran agama anak perempuannya.
Beliau berkata persoalan kepentingan awam yang timbul dan menuntut penyelesaian ialah sama ada persetujuan tersirat itu mencukupi untuk memenuhi keperluan perlembagaan bagi persetujuan di bawah Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah juga berpendapat bahawa perbincangan lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada kes wanita itu adalah kes berkaitan pembatalan atau kes void ab initio (tidak sah dari awal).
Mahkamah membenarkan enam soalan undang-undang yang dicadangkan oleh peguam wanita itu, untuk dihujahkan pada pendengaran rayuan.
Wanita yang berasal dari suku Jakun itu memfailkan saman terhadap Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan kerajaan Pahang, memohon perisytiharan bahawa beliau tidak menganut agama Islam.
Dalam saman pemula yang difailkan wanita itu mendakwa beliau tidak pernah memeluk agama Islam kerana tidak pernah melafaz kalimah syahadah, kerana pada 14 Nov 1995 (ketika ibunya membawa dia menukar agama) dia baru berumur dua tahun.
Wanita itu memohon pengisytiharan bahawa beliau berhak untuk mengamalkan cara hidup dan kepercayaan sebagai Orang Asli.
Ibunya memeluk Islam pada November 1995, manakala bapanya seorang Muslim, tidak dapat dikesan.
Saman wanita itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada Februari 2023 dan kemudiannya oleh Mahkamah Rayuan dengan keputusan majoriti 2-1.
Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini peguam A.Surendra Ananth dan New Sin Yew mewakili wanita itu, manakala penasihat undang-undang negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin mewakili kerajaan Pahang.
Peguam Mohd Fairuz Abdullah dan Datuk Mohd Najid Hussain mewakili Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. — BERNAMA
