Terkini
Saravanan mohon PM henti guna istilah kuil haram

- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimohon mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah kuil haram.
- Permohonan itu disuarakan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan susulan maklum balas pihak pengurusan Hospital Taiping terhadap aduan berhubung sebuah tempat ibadat yang terletak di kawasannya.
- Dalam jawapan rasmi bertajuk “Maklum Balas PCB 965228 – Aduan Kuil Haram”, Timbalan Pengarah Hospital Taiping Arni Nadhirah Abdul Hadi menyatakan bahawa tindakan lanjut sedang diambil mengikut tatacara sewajarnya.
- Menurut Saravanan, melabel rumah ibadat Hindu seperti itu sebagai “haram” amat menyinggung perasaan dan adalah tidak sensitif serta mengabaikan fakta sejarah dan budayanya.
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimohon mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah kuil haram.
Permohonan itu disuarakan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan susulan maklum balas pihak pengurusan Hospital Taiping terhadap aduan berhubung sebuah tempat ibadat yang terletak di kawasannya.
Dalam jawapan rasmi bertajuk “Maklum Balas PCB 965228 – Aduan Kuil Haram”, Timbalan Pengarah Hospital Taiping Arni Nadhirah Abdul Hadi menyatakan bahawa tindakan lanjut sedang diambil mengikut tatacara sewajarnya.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah membantah sekeras-kerasnya bahasa digunakan, sambil menekankan banyak kuil itu telah wujud selama beberapa dekad – jauh sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara pada 1965.
Menurut beliau, melabel rumah ibadat Hindu seperti itu sebagai “haram” amat menyinggung perasaan dan adalah tidak sensitif serta mengabaikan fakta sejarah dan budayanya.
“Majoriti kuil itu wujud sewaktu zaman penjajahan British dan Jepun,” katanya dipetik Malaysiakini sambil memaklumkan surat itu dihantar ke Pejabat Perdana Menteri pagi tadi.
“Dari sejarahnya, golongan buruh (India) awal mendirikan rumah ibadat di mana mereka bekerja. Kerajaan seharusnya tidak mengabaikan fakta sejarah sebenar kuil-kuil Hindu yang ini mendapat kelulusan pihak penjajah dan pemerintah tempatan,” katanya.
Saravanan berkata setelah berlakunya fragmentasi estet, tanggungjawab kawal selia kuil-kuil beralih kepada penduduk setempat.
Pemimpin MIC itu juga menegaskan bahawa walaupun kuil-kuil itu pada mulanya terletak di pinggiran bandar atau di kawasan pedalaman tetapi hari ini, urbanisasi telah menyebabkan rumah ibadat tersebut seolah-olah terletak di pekan.
“Melabelkan rumah ibadat sebagai ‘kuil haram’ amat menyinggung perasaan penganut agama Hindu,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Lawyers for Liberty (LFL) dilapor turut menggesa Anwar dan kerajaan meredakan kontroversi “kuil haram”.
Menyifatkan Anwar dan kerajaan menangani isu tersebut secara tidak bertanggungjawab, Pengarah LFL, Zaid Malek menggesa kedua-duanya perlu melarang penggunaan istilah “haram” terhadap mana-mana rumah ibadat, walaupun ia terletak di tanah dalam pertikaian.
Zaid berkata Anwar juga mesti tidak lagi menggunakan istilah “haram” ketika merujuk mana-mana rumah ibadat di tanah yang dalam pertikaian. — The Merdeka Times
