Terkini
KDN haramkan dua buku elak penyebaran ideologi gugat keselamatan awam

- Kerajaan mengenakan Perintah Larangan ke atas dua judul penerbitan buku, berikutan demi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang boleh menganggu-gugat keselamatan dan keharmonian masyarakat.
- Dua judul buku itu ialah The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed oleh Abdullah Hashem dan Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/Cyrus The Great dan Iskandar Agung.
- Menurut kenyataan KDN, tajuk ini diperintahkan larangan melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 5) 2025 [P U (A) 77] kerana mungkin memudaratkan kepentingan awam.
KUALA LUMPUR — Kerajaan mengenakan Perintah Larangan ke atas dua judul penerbitan buku, berikutan demi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang boleh menganggu-gugat keselamatan dan keharmonian masyarakat.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata Perintah Larangan itu diwartakan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa pada hari ini.
Dua judul buku itu ialah The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed oleh Abdullah Hashem dan Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/Cyrus The Great dan Iskandar Agung.
“Tindakan perintah larangan bagi kedua-dua hasil penerbitan berkenaan adalah selaras dengan peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301.
“Akta itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan berkenaan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau kepentingan awam dilarang secara mutlak di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan KDN, tajuk ini diperintahkan di bawah larangan melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 5) 2025 [P U (A) 77] kerana mungkin memudaratkan kepentingan awam.
Di bawah subseksyen 8(2) Akta 301 memperuntukan mana-mana individu yang melakukan kesalahan bawah akta itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-keduanya.
Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan. — The Merdeka Times
