Terkini
Jangan ceroboh tanah Pahang! – Sultan Pahang

- “Jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang! Jangan bagi orang menceroboh tanah-tanah negeri Pahang ini!
- “Saya pun naik darah juga bila banyak orang menceroboh tanah negeri Pahang ini. Sudah sampai masanya kita berkeras (dengan penceroboh), dan mereka yang mencerobohi tanah-tanah di negeri Pahang ini, kita akan bertindak sedemikian dan kita akan selesai secara baik,” titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah .
KUALA LUMPUR — Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menegaskan supaya tanah di negeri itu tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ baginda dalam menyalurkan maklumat mengenai isu pencerobohan tanah di negeri itu.
Titah Sultan Pahang, baginda sendiri mulai naik darah apabila banyak berlaku kes tanah negeri itu diceroboh, justeru tegas baginda sudah tiba masanya kita berkeras dalam perkara berkenaan.
“Jagalah negeri kita, jagalah bumi Pahang kita dengan sebaik mungkin.
“Jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang! Jangan bagi orang menceroboh tanah-tanah negeri Pahang ini!
“Saya pun naik darah juga bila banyak orang menceroboh tanah negeri Pahang ini. Sudah sampai masanya kita berkeras, dan mereka yang mencerobohi tanah-tanah di negeri Pahang ini, kita akan bertindak sedemikian dan kita akan selesai secara baik,” titah baginda menerusi klip video berdurasi 42 saat yang disiarkan Kesultanan Pahang hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Kesultanan Pahang.
Menurut kapsyen hantaran Facebook itu, baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidifitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut Pahang pada Ahad.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat apabila pekebun didakwa menunjukkan ketidakpuasan hati kerana tanaman mereka dimusnahkan, lapor BERNAMA.
Kerajaan Pahang juga menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi penguatkuasaan berkenaan disertai antaranya polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, (UPNP) dijalankan meliputi semua kawasan penanaman yang telah diteroka tanpa kebenaran di Raub serta dijangka dilaksanakan hingga 3 Mei ini. — The Merdeka Times
