Terkini
Bendera simbol kedaulatan negara, kesilapan perlu diambil serius – Anwar

- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dan tidak mengambil mudah sebarang kesilapan melibatkan Jalur Gemilang.
- “Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting. Ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan),” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menamatkan sesi lawatan kerjanya di Bangkok hari ini.
- Anwar berkata siasatan perlu diteruskan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya, tanpa tekanan atau tindakan berlebihan.
BANGKOK — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu kesilapan menyiarkan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap, tidak boleh dipandang ringan kerana bendera adalah simbol kedaulatan dan maruah negara.
Beliau yang sedang dalam lawatan dua hari ke Thailand turut mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dan tidak mengambil mudah sebarang kesilapan melibatkan Jalur Gemilang.
“Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting. Ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan),” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menamatkan sesi lawatan kerjanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily tiga hari lepas.
Anwar berkata siasatan perlu diteruskan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya, tanpa tekanan atau tindakan berlebihan.
“Saya juga beritahu supaya jangan nampak kita nak berlebih-lebihan hanya semata-mata kerana tuntutan, dia kena ikut proses undang-undang,” katanya.
Selasa lepas Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.– BERNAMA
