Connect with us

Agama

Video raya penyanyi berkemban: Karya bercanggah nilai agama dan budaya wajar ditarik balik – Mufti Pulau Pinang

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman
  • Jika sesuatu karya mengundang kemarahan ramai kerana bercanggah nilai agama dan budaya, adalah wajar ia ditarik semula atau disunting agar lebih sesuai, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
  • “Elemen penting bagi seorang pengkarya, lebih-lebih lagi dalam menghasilkan karya bersempena hari raya, adalah menjaga kesopanan dalam berpakaian, lirik yang baik dan membawa mesej positif, serta penyampaian yang menghormati semangat Aidilfitri.
  • “Aidilfitri adalah simbolik kepada kejayaan umat Islam menundukkan nafsu, membersihkan diri dan jiwa selepas Ramadan, jadi sewajarnya karya dihasilkan juga melambangkan kesucian dan kegembiraan dalam konteks bermaruah,” kata Mohd Sukki kepada The Merdeka Times (TMT) semalam.
  • Mengulas pandangan netizen yang meminta klip video berkenaan dibiarkan atas alasan berkarya, Mohd Sukki menegaskan bahawa kebebasan berkarya itu sememangnya diiktiraf, namun ia bukanlah kebebasan mutlak yang boleh mengabaikan sensitiviti agama dan budaya.

KUALA LUMPUR — Jika sesuatu karya mengundang kemarahan ramai kerana bercanggah nilai agama dan budaya, adalah wajar ia ditarik semula atau disunting agar lebih sesuai, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Mohd Sukki berkata ini kerana tindakan itu merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial dan moral yang perlu dipikul semua pengkarya.

Beliau juga tidak menolak desakan netizen yang mahu klip video lagu raya terbaru penyanyi Mimifly bertajuk, ‘Serumpun’ memaparkan penyanyi itu seakan berkemban diharamkan atau diboikot, dengan berpandangan tindakan itu mungkin boleh dilakukan.

Bagaimanapun, katanya pihak berkaitan seperti penggiat industri dan penyanyi itu sendiri wajar mengambil maklum teguran masyarakat. 

“Elemen penting bagi seorang pengkarya, lebih-lebih lagi dalam menghasilkan karya bersempena hari raya, adalah menjaga kesopanan dalam berpakaian, lirik yang baik dan membawa mesej positif, serta penyampaian yang menghormati semangat Aidilfitri.

“Aidilfitri adalah simbolik kepada kejayaan umat Islam menundukkan nafsu, membersihkan diri dan jiwa selepas Ramadan, jadi sewajarnya karya dihasilkan juga melambangkan kesucian dan kegembiraan dalam konteks bermaruah,” katanya kepada The Merdeka Times (TMT) di sini semalam.

Mohd Sukki berkata demikian ketika mengulas klip video lagu raya terbaru penyanyi Mimifly atau Shamimi Amalina Norhisham bertajuk, ‘Serumpun’ memaparkan penyanyi itu seakan berkemban hingga mengundang kritikan netizen Muslim yang berpandangan pakaian tersebut jelas bertentangan nilai Islam dan budaya Melayu sebenar.

Tinjauan TMT di Thread semalam mendapati netizen menegaskan bahawa alasan pertama kita mempunyai perayaan Aidilfitri adalah kerana agama Islam, justeru pakaian digunakan perlu mencerminkan Islam iaitu lengkap menutup aurat, tambahan lagi hari raya adalah hari kemenangan buat umat Islam melawan hawa nafsu.

Mengulas pandangan netizen yang meminta klip video berkenaan dibiarkan atas alasan berkarya, Mohd Sukki menegaskan bahawa kebebasan berkarya itu sememangnya diiktiraf, namun ia bukanlah kebebasan mutlak yang boleh mengabaikan sensitiviti agama dan budaya.

Jelas beliau, Islam membenarkan seni dan hiburan, tetapi ia perlu bersandarkan nilai-nilai baik dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan, bukan sebaliknya. 

“Kita boleh menikmati lagu raya dan berkarya, tetapi biarlah dengan cara selari adab dan akhlak… Kebebasan berkarya yang membawa kepada normalisasi sesuatu yang bertentangan agama dan budaya hendaklah ditangani segera dengan penuh hikmah.

“Sebagai umat Islam dan juga masyarakat Melayu yang kaya dengan adab dan budaya, adalah penting kita menjaga kesopanan dan tatasusila, lebih-lebih lagi dalam suasana menyambut Aidilfitri yang merupakan perayaan kemenangan setelah sebulan berpuasa. 

“Pakaian mendedahkan aurat, apatah lagi menyerupai berkemban, jelas bertentangan tuntutan Islam dan juga norma budaya Melayu yang menekankan kesopanan. 

“Walaupun ia hanyalah lagu raya, kita tidak boleh mengasingkan hiburan daripada tanggungjawab moral dan agama… Hiburan dalam Islam ada batasannya, dan ia sepatutnya mendidik, menghiburkan dengan cara baik, serta tidak melanggar syariat,” kata Mohd Sukki. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *