Terkini
RM250,000 terlalu tinggi, Kompaun terhadap pengendali stesen radio Era FM perlu dipertimbang semula – Peguam

- Peguam, Mahmud Jumaat memohon hukuman kompaun itu dipertimbangkan atas enam alasan ringkas iaitu antaranya ini adalah satu-satunya kes dalam sejarah di mana individu dikatakan menghina agama hadir ke tempat utama beribadat mereka dan memohon maaf sekiranya tindakan mereka secara tidak sengaja menghina agama pihak berkenaan.
- “Dengan adanya permohonan maaf dan kekhilafan serta salah faham ini, mereka dikenakan amaun kompaun yang terlalu tinggi, jika dibandingkan hukuman kompaun dikenakan ke atas kes-kes lain, kes ini dilihat terlalu tinggi.
- “Sebagai contoh dalam kes Harith Iskandar dan Cecelia Yap, mereka dikompaun dengan hanya RM10,000.00 seorang dibandingkan dengan kes mereka, jelas penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW dan tiada alasan boleh disokong atas kelakuan mereka selain dengan sengaja menghina agama kami!” – Mahmud Jumaat
KUALA LUMPUR — Seorang peguam menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempertimbangkan semula kompaun RM250,000 yang dikenakan ke atas syarikat pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd bagi kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
Mahmud Jumaat berkata beliau memohon hukuman kompaun itu dipertimbangkan atas enam alasan ringkas iaitu antaranya ini adalah satu-satunya kes dalam sejarah di mana individu dikatakan menghina agama hadir ke tempat utama beribadat mereka dan memohon maaf sekiranya tindakan mereka secara tidak sengaja menghina agama pihak berkenaan.
Beliau berkata bagaimanapun perkara itu sebenarnya berlaku disebabkan wujud salah faham, kerana jelas terbukti pihak terlibat tidak sama sekali berniat menghina mana-mana agama, sebaliknya dikhianati dalang yang cuba menjadi batu api menghasut kemarahan orang ramai.
“Dengan adanya permohonan maaf dan kekhilafan serta salah faham ini, mereka dikenakan amaun kompaun yang terlalu tinggi, jika dibandingkan hukuman kompaun dikenakan ke atas kes-kes lain, kes ini dilihat terlalu tinggi.
“Sebagai contoh dalam kes Harith Iskandar dan Cecelia Yap, mereka dikompaun dengan hanya RM10,000.00 seorang dibandingkan dengan kes mereka, jelas penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW dan tiada alasan boleh disokong atas kelakuan mereka selain dengan sengaja menghina agama kami!
“Jujur cakap agak laju keputusan kompaun ini dibuat… Mungkin untuk meleraikan isu ini dengan kadar segera dan berdasarkan pindaan pada 11 Februari 2025, denda bagi Seksyen 233 SKMM boleh sehingga RM500,000.00.
“Namun, adalah tidak munasabah amaun kompaun ditawarkan adalah setengah daripada amaun denda maksima bagi jumlah yang boleh dikenakan dalam seksyen tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Selasa.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Mahmud Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan Astro Audio menggantung penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan video kontroversi berkait perayaan agama Hindu.
Setelah menerima kecaman, tiga penyampai radio itu dilaporkan tampil memohon maaf terhadap perbuatan mereka yang dilihat mempersendakan upacara agama Hindu.
Mengulas lanjut, Mahmud Jumaat berkata beliau percaya ramai masyarakat India akan setuju dengan beliau sekiranya ada penganut agama lain menyebut ‘Vel’ itu sebagai tiada masalah.
Namun yang menjadi masalah menurut beliau adalah apabila ada batu api yang memotong bahagian lima saat dari klip video itu untuk memperlihatkan seolah-olah Nabil, Pak Ajad dan krew menggelakkan sebutan ‘Wei Wei’.
“Saya ulang, kita semua tahu apa yang digelakkan adalah tarian Pak Ajad dari awal yang dipotong dan dikeluarkan daripada video tersebut dan bukan sebutan Wei Wei.
“Jelas, bukanlah Vel-Vel yang disebut tetapi Wei Wei yang jelas kedengaran seperti laungan West Ham United! Maka dimana kandung jelik yang melampau?” katanya.
Tambah beliau, sekiranya pengendali stesen radio ERA tidak bersetuju dengan kompaun dikenakan, mereka boleh membela diri di Mahkamah atas pertuduhan bagi kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seperti kes Datuk Aliff Shukri atau menghantar representasi kepada pihak Jabatan Peguam Negara atas keputusan rayuan yang diputuskan.
“Kami mohon MCMC mempertimbangkan keputusan ini agar kompaun sekiranya ditawarkan adalah berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan atau lebih baik hanya memberi amaran kepada mereka untuk berhati-hati atas salah faham yang berlaku antara pihak-pihak sekiranya ingin terus menghukum mereka,” kata Mahmud Jumaat. — The Merdeka Times
