Antarabangsa
Jordan cadang usir 3,000 anggota Hamas dari Gaza untuk tamatkan perang Israel

- Pelan tersebut merangkumi perlucutan senjata Hamas dan penyerahan kawalan wilayah kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
- Mereka yang akan diusir termasuk pemimpin serta anggota Hamas, baik dari segi ketenteraan mahupun awam.
- Pelan itu juga menyeru perlucutan senjata kumpulan penentangan lain di Gaza mengikut jadual yang ditetapkan.
AMMAN – Jordan mencadangkan rancangan untuk mengusir 3,000 anggota Hamas dan sayap ketenteraan parti itu dari Semenanjung Gaza dalam usaha menamatkan perang yang sedang berlangsung dengan Israel.
Pelan tersebut merangkumi perlucutan senjata Hamas dan penyerahan kawalan wilayah kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Middle East Eye memetik sumber dari Amerika Syarikat dan Palestin yang memaklumkan mereka yang akan diusir termasuk pemimpin serta anggota Hamas, baik dari segi ketenteraan mahupun awam.
Pelan itu juga menyeru perlucutan senjata kumpulan penentangan lain di Gaza mengikut jadual yang ditetapkan.
Langkah berkenaan dikatakan akan menamatkan pemerintahan Hamas di wilayah yang musnah akibat perang itu dan membolehkan PA mengambil alih kawalan.
Cadangan terbabit diutarakan ketika Israel meningkatkan pengeboman ke atas Gaza, hanya beberapa hari selepas ia melanggar perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani dengan Hamas awal tahun ini.
Pada 18 Mac, jet pejuang Israel melancarkan puluhan serangan udara di seluruh Gaza ketika penduduk sedang bangun untuk bersahur, membunuh 400 orang awam, termasuk hampir 200 kanak-kanak.
Sejak itu, serangan berterusan Israel ke atas wilayah tersebut telah membunuh 300 lagi rakyat Palestin.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, secara keseluruhan, sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 50,000 rakyat Palestin, termasuk hampir 18,000 kanak-kanak, manakala lebih 113,000 orang lagi cedera.
Gencatan senjata yang dilanggar Israel adalah sebahagian perjanjian tiga fasa, yang bermula dengan penghentian sementara permusuhan dan bertujuan membawa kepada pengakhiran perang secara kekal serta pengunduran penuh Israel dari Gaza.
Walaupun Israel telah melanggar gencatan senjata dengan serangan udara, pihak Palestin tetap menyatakan kesediaan untuk meneruskan rundingan bagi melangkah ke fasa kedua perjanjian tersebut.
Steve Witkoff, Duta Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah yang membantu merundingkan perjanjian pertama, menyatakan dalam wawancara bersama Tucker Carlson pada hari Jumaat bahawa Hamas tidak boleh mentadbir Gaza dan harus dilucutkan senjata.
Cadangan sama telah dikemukakan beberapa kali oleh Israel sejak perang meletus, termasuk cadangan agar pemimpin Hamas meninggalkan Gaza kononnya sebagai pertukaran untuk menghentikan perang.
Bagaimanapun, Hamas secara konsisten menolak seruan untuk melucutkan senjata atau meninggalkan Gaza, dengan menegaskan bahawa mereka akan terus bersenjata selagi pendudukan Israel masih berterusan. – The Merdeka Times
