Antarabangsa
Disekat, ditangguhkan dan ditutup, cara bank-bank UK lumpuhkan badan amal Muslim – MCF

- Kajian mendedahkan bahawa 42% badan amal mendapati akaun bank mereka ditutup tanpa penjelasan.
- Manakala 68% telah menghadapi kelewatan yang lama dalam membuka akaun.
- “Selama lebih dua dekad, badan amal yang diterajui Muslim telah bergelut dengan de-risking iaitu situasi dimana institusi kewangan menamatkan atau menghadkan hubungan perniagaan dengan kategori pelanggan yang perlu dielakkan. Walaupun isu ini kritikal, ia tidak mendapat perhatian yang sewajarnya,” kata Ketua Dasar dan Advokasi MCF, Abdulsami Arjumand.
LONDON –Badan amal yang diterajui Muslim di UK menghadapi diskriminasi kewangan yang serius dengan bank-bank menyekat akses kepada perkhidmatan penting secara tidak seimbang, menurut laporan baharu yang dikeluarkan Rabu oleh Muslim Charities Forum (MCF).
Kajian itu mendapati bahawa 42 peratus badan amal yang dikaji telah ditutup akaun mereka tanpa penjelasan, manakala 68 peratus mengalami kelewatan yang berpanjangan dalam membuka akaun dan mengambil masa beberapa tahun.
Tekanan seperti ini, termasuk pembekuan pemindahan antarabangsa dan pembayaran tertunda, telah menghalang usaha menghulurkan bantuan di zon konflik seperti Syria, Palestin dan Pakistan, melambatkan sokongan menyelamatkan nyawa seperti bekalan perubatan dan bantuan pelarian.
Menurut Ketua Dasar dan Advokasi MCF, Abdulsami Arjumand laporan itu turut mengaitkan sekatan ini dengan langkah kawalan pembiayaan anti-keganasan yang ekstrem, Islamofobia yang berstruktur, dan kekurangan ketelusan dalam sistem perbankan.
“Selama lebih dua dekad, badan amal yang diterajui Muslim telah bergelut dengan de-risking iaitu situasi dimana institusi kewangan menamatkan atau menghadkan hubungan perniagaan dengan kategori pelanggan yang perlu dielakkan. Walaupun isu ini kritikal, ia tidak mendapat perhatian yang sewajarnya,” kata Arjumand.– The Merdeka Times
