Connect with us

Agama

Isu ‘jenaka ham’: ‘Si pelawak, masuklah balik “tadika agama” kenali Islam’ – Abdullah Bukhari

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pendakwah, Abdullah Bukhari Abdul Rahim
  • “Kepada si pelawak yang sedang hangat dikecam ini, masuklah “tadika agama” balik untuk mengenali Islam. Anda belum terlambat! Apabila dipanggil menghadap Allah kelak, malaikat pencabut nyawa pasti tidak akan terhenti tugasannya kerana lawak hambar anda”.
  • Demikian kritikan pendakwah, Abdullah Bukhari Abdul Rahim yang difahamkan ditujukan kepada pelawak dan pelakon, Harith Iskander yang ketika ini berdepan kecaman berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai ‘jenaka’ isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.
  • Islam tidak melarang lawak atau senda gurau yang biasa berlegar dalam kehidupan manusia, malah ia boleh menjadi sebab bahagia atau duka di akhirat kelak dan jika ia kena pada cara gurauannya, kegembiraan berputik daripadanya akan menjadi sebab ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam bertambah erat yang pastinya menjadi saham ke syurga.
  • Bagaimanapun,  jika sesuatu lawak dan senda gurau meruntuhkan pegangan agama, apatah lagi mengundang cerca kepada manusia mulia seperti Rasulullah SAW, maka ia bakal menjadi bahan bakar yang akan menghangus-rentungkan si pelawak dalam neraka kelak.

KUALA LUMPUR —“Kepada si pelawak yang sedang hangat dikecam ini, masuklah “tadika agama” balik untuk mengenali Islam. Anda belum terlambat! Apabila dipanggil menghadap Allah kelak, malaikat pencabut nyawa pasti tidak akan terhenti tugasannya kerana lawak hambar anda”.

Demikian kritikan pendakwah, Abdullah Bukhari Abdul Rahim yang difahamkan ditujukan kepada pelawak dan pelakon, Harith Iskander yang ketika ini berdepan kecaman berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai ‘jenaka’ isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.

Abdullah Bukhari menegaskan Islam tidak melarang lawak atau senda gurau yang biasa berlegar dalam kehidupan manusia, malah ia boleh menjadi sebab bahagia atau duka di akhirat kelak dan jika ia kena pada cara gurauannya, kegembiraan berputik daripadanya akan menjadi sebab ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam bertambah erat yang pastinya menjadi saham ke syurga.

Bagaimanapun, katanya jika sesuatu lawak dan senda gurau meruntuhkan pegangan agama, apatah lagi mengundang cerca kepada manusia mulia seperti Rasulullah SAW, maka ia bakal menjadi bahan bakar yang akan menghangus-rentungkan si pelawak dalam neraka kelak.

“Jika anda “terpaksa” melawak juga untuk mengekalkan anugerah “Lelaki paling Kelakar” yang anda perolehi pada tahun 2016, patuhilah beberapa syarat ini agar lawak anda membuah pahala, bukannya menempah lubang neraka iaitu yang pertama, lawak tidak boleh mempersendakan isi agama.

“Agama bukanlah bahan gurau. Silap bergurau dengan isi agama boleh mendatangkan musibah dosa yang berat. Allah pernah mencela Munafik Madinah dahulu yang memberi alasan ejek mereka sebagai sebuah gurauan agama. Firman Allah: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek gurau mereka) tentulah mereka (orang munafik) akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanya berbual dan bermain”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah, ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu persenda dan ejek?” (al-Tawbah 9:65).

“Syarat kedua adalah tidak boleh berdusta untuk melawak. Mungkin ada berkata, apa salahnya sedikit dusta dalam gurauan bagi menceriakan suasana. Islam menegaskan, matlamat tidak menghalalkan cara. Cukuplah hadith ini mengingatkan kita: Rasulullah bersabda: Celaka (biasalah) bagi orang yang berbicara secara berdusta untuk menimbulkan gelak tawa orang. Celaka baginya! Celaka baginya! (Sunan Abu Dawud, 4990).

“Islam agama yang mendokong kebenaran hatta dalam gurauan sekalipun. Pernah sahabat bertanya Rasulullah SAW: Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Tuan pun bergurau dengan kami?” Baginda menjawab: “Aku tidak berkata (walaupun dalam gurauan) melainkan yang benar sahaja” (Sunan al-Tirmidhi, 1990),” kata Abdullah Bukhari  menerusi hantaran di Facebook hari ini bertajuk, ‘”Lawak biar bertempat dan beradab”.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Harith Iskander dan komen Cecelia Yap yang dimuat naik Abdullah Bukhari di Facebook-nya.

Menerusi hantaran itu, beliau turut memuat naik tangkap layar hantaran Facebook Harith bertarikh 18 Januari lalu yang didakwa membuka ruang mempersendakan agama sekali gus mengundang komen biadap seorang pengguna media sosial, Cecelia Yap yang mengaitkan nama HAM dengan nama Nabi Muhammad SAW.

Perkara itu mencetuskan kecaman orang ramai terhadap mereka, dan dalam perkembangan terbaharu polis dilaporkan telah merakam keterangan pelawak terbabit pada Rabu dan mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu.

 

Foto: Antara tangkap layar hantaran Facebook Abdullah Bukhari Abdul Rahim.

Setakat ini, 16 laporan polis diterima berkaitan isu itu di seluruh negara dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Abdullah Bukhari berkata syarat ketiga perlu diikuti pelawak terbabit adalah sebarang lawak dilakukan tidak boleh mengejutkan atau menakutkan orang lain.

“Pernah para sahabat bermusafir bersama Rasulullah. Apabila mereka singgah di sebuah tempat, beberapa sahabat bergurau dengan mengambil barang milik seorang lelaki yang sedang tidur. Apabila lelaki itu sedar dan mendapati barangnya hilang, dia sangat terkejut dan kumpulan yang menyembunyikan barangnya ketawa besar. Setelah tahu perihal gurauan tersebut, baginda menegur keras dengan sabdanya: Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan) (Sunan Abu Dawud, 5004 & Musnad Ahmad, 23064).

“Lawak tidak dilakukan dengan niat mengejek atau merendahkan mangsa gurau. Ia diterang jelas oleh Allah melalui firman-Nya (al-Hujurat 49:11),” katanya.

Abdullah Bukhari juga mengingatkan kepada peminat lawak dan pelawak supaya mencari lawak yang bijak, membina minda, kritis, budiman dan tidak menunggang agama sebagai bahan lawak.

“Cukuplah firman Allah dalam surah al-An’am 6:70 sebagai amaran kepada kita: Dan jauhkanlah diri dari orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *