Terkini
Afdlin nafi dakwaan salah laku projek DBKL

- Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menafikan sekerasnya dakwaan wujud salah laku dalam perolehan projek di bawah DBKL.
- Afdlin yang juga Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur membuat penafian itu susulan baru-baru ini tular sebuah hantaran dalam Telegram Channel Edisi Siasat yang mengaitkan beliau dengan tuduhan salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
- Afdlin buat laporan polis hari ini untuk siasatan dijalankan berkenaan perkara itu.
- “Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.
KUALA LUMPUR — Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menafikan sekerasnya dakwaan wujud salah laku dalam perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) .
Afdlin yang juga Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur membuat penafian itu susulan baru-baru ini tular sebuah hantaran dalam Telegram Channel Edisi Siasat yang mengaitkan beliau dengan tuduhan salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menurut beliau, satu laporan polis telah dibuat hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara itu.
“Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.
“Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan. Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Instagram @afdlinshaukiofficial.
Afdlin berkata beliau juga maklum bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang melakukan siasatan dalaman berhubung perkara itu.
“Oleh itu, saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan DBKL melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor sebagai berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial baru-baru ini, membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka. — The Merdeka Times
