Connect with us

Terkini

(VIDEO) Isu papan tanda DBKL: Menteri Pelancongan yang sebenarnya ‘bakar’ isu 3R – MP BERSATU

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Dari kiri, Ahli Parlimen Masjid Tanah dari PN-BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin & Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing

KUALA LUMPUR — Dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempengaruhi keputusan pelancong melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada luar adalah kenyataan tidak benar.

Ahli Parlimen Masjid Tanah dari PN-BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kenyataan itu juga memalukan dan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, King Sing sepatutnya mengangkat budaya negara ini dan mempertahankannya sebagaimana disarankan.

“Saya terkejut apabila Yang Berhormat Menteri mendakwa tindakan DBKL untuk pastikan golongan peniaga di negara ini patuh undang-undang dengan mempamerkan papan tanda yang menggunakan bahasa kebangsaan akan mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara kita di persada luar… Ini adalah kenyataan yang tidak benar!

“…Sultan Selangor dah arahkan untuk tanggalkan papan tanda tulisan Cina (memetik) Berita Harian, 19 November 2018 dan sebab inilah, tak usahlah Yang Berhormat Menteri buat drama dan memetik agenda perkauman.

“Sebenarnya Yang Berhormat Menteri yang membakar 3R di dalam dan juga di luar negara dan hanya untuk menghalalkan papan tanda yang tidak patuh undang-undang. Ini sangat tak betul.

“Malah kenyataan Yang Berhormat Menteri ini sangat bahaya dan boleh kita katakan sebagai kenyataan 3R… Dan ianya seolah-olah merendah-rendahkan pelancong daripada negara China,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Semalam,  King Sing menerusi hantaran di Facebook menegaskan penguatkuasaan peraturan mengenai papan tanda dwibahasa baru-baru ini telah mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas, malah tindakan itu dikatakan menimbulkan ketidakpuasan hati dan mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong antarabangsa.

King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata tingkah laku disifatkan sebagai melampau itu bukan sahaja menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia, tetapi beberapa pelawat antarabangsa turut bertanyakan kepada beliau sama ada Malaysia sebuah negara rasis atau ekstrem agama.

Beliau berkata perkara itu secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.

Sebelum ini, DBKL dilapor melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di ibu negara.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati yang juga Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah meminta supaya King Sing ditukarkan.

“Eh, tengok sajalah dekat Thailand, tengok sajalah dekat Indonesia tak ada pun sibuk nak please-kan pelancong-pelancong daripada China menggunakan bahasa mereka sendiri, tetapi kat Malaysia ni, kenapa pula kita nak buat macam tu?

“Memalukan! Sebab itulah saya rasa pelancong daripada negara China tak heran pun dia tetap boleh masuk ke kedai-kedai, mereka masih lagi boleh melawat dan sebab itulah saya minta supaya Yang Berhormat Menteri ini, kita tukar,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *