Terkini
GISBH: PDRM terus siasat hingga tiada lagi sisa ajaran boleh dihidupkan semula
Siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejak serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan dengan syarikat berkenaan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada 11 Sept lepas, kini memasuki sebulan.
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan bagi memastikan ajaran serta fahaman dibawa GISBH tidak dihidupkan semula.
- Antara agensi terlibat adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan cadangan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
- “Siasatan membabitkan GISBH ini lebih besar dan bukan sahaja melibatkan kefahaman serta ideologi semata-mata. la melibatkan lebih daripada kefahaman dan ideologi, mereka ini mengamalkan sosiobudaya dan ekonomi mereka sendiri.
- “Oleh itu, kerjasama dengan semua agensi yang terbabit diperlukan dan kita serahkan kepada kerajaan dengan syor diberikan berkaitan keperluan pendekatan pemulihan holistik, tidak hanya kepada kefahaman,” katanya pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Khamis.
KUALA LUMPUR — Siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejak serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan dengan syarikat berkenaan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada 11 Sept lepas, kini memasuki sebulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan bagi memastikan ajaran serta fahaman dibawa GISBH tidak dihidupkan semula.
Beliau berkata antara agensi terlibat adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan cadangan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan membabitkan GISBH ini lebih besar dan bukan sahaja melibatkan kefahaman serta ideologi semata-mata. la melibatkan lebih daripada kefahaman dan ideologi, mereka ini mengamalkan sosiobudaya dan ekonomi mereka sendiri.
“Oleh itu, kerjasama dengan semua agensi yang terbabit diperlukan dan kita serahkan kepada kerajaan dengan syor diberikan berkaitan keperluan pendekatan pemulihan holistik, tidak hanya kepada kefahaman,” katanya pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas soal aset syarikat berkenaan, beliau berkata siasatan terhadap aset GISBH di luar negara selepas mengenal pasti 23 harta milik syarikat itu di 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta, sudah dimulakan.
“Polis masih menunggu maklum balas daripada sembilan negara lain dipercayai GISBH turut menjalankan operasi di rantau Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah. Kita juga minta bantuan melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL), pihak berkuasa negara terbabit dan agensi berkaitan.
“Kita memperoleh maklumat terdapat tiga premis di sebuah negara telah berhenti beroperasi dengan papan tanda sudah diturunkan malah tingkap dan pintu ditutup dengan plastik hitam. Kita belum dapat maklumat tentang ahli-ahli mereka di negara tersebut jadi itu ialah siasatan seterusnya yang akan kita susun,” katanya.
Sementara itu, 16 individu dikaitkan dengan GISBH ditahan semula semalam di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan dan setakat ini, 58 individu telah ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan September lepas.
Mohd Shuhaily berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 orang ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.
Mengenai 97 kertas siasatan dibuka, Mohd Shuhaily berkata ia melibatkan pelbagai kesalahan menyaksikan sembilan individu telah dituduh di mahkamah dengan 34 pertuduhan iaitu 20 pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — BERNAMA