Connect with us

Terkini

ATM sahkan kes kadet ‘ditekap seterika’ dalam siasatan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Siaran akhbar ATM

KUALA LUMPUR — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebentar tadi mengesahkan kes seorang pegawai kadet yang disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur kini dalam siasatan peringkat Akademi Latihan Ketenteraan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM).

ATM dalam kenyataan media malam ini menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak terlibat dengan kes itu.

ATM berkata tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak terlibat jika terbukti bersalah.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil maklum berkenaan laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden seorang Pegawai Kadet ALK – UPNM yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang ‘senior’nya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada Pegawai Kadet tersebut sehingga meninggalkan kesan lecur.

“Susulan itu, ATM mengesahkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK – UPNM,” kata kenyataan ATM itu.

The Merdeka Times (TMT) dalam laporan eksklusif hari ini melaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di ALK, UPNM di Sungai Besi, dipercayai dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Sumber memberitahu TMT bahawa insiden membabitkan pegawai kadet lelaki itu secara tidak sengaja terbongkar dan diketahui pegawai bertugas (duty officer) selepas mangsa mengikuti latihan tempur tanpa senjata, minggu lalu.

TMT turut melihat foto tangkap layar kecederaan mangsa dipercayai dari grup WhatsApp kompeni pegawai kadet terbabit yang sudah dipadamkan tetapi sempat dikongsikan rakan sumber kepada sumber.

Mengulas lanjut, ATM menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

ATM juga menyeru masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan itu.

“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” kata ATM. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *