Connect with us

Terkini

Kajian GISBH sudah dibentang kepada JAKIM, tapi tiada tindakan – Dr Maza

Isu membabitkan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), namun tiada tindakan diambil, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA).
  • Isu membabitkan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak, termasuk JAKIM, namun tiada tindakan diambil, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA).
  • Pihak membuat kajian tentang kes ini telah berusaha bertahun-tahun lamanya bertemu dengan beberapa pihak bertanggungjawab, termasuk membentangkan kajian didapati, namun tiada tindakan diambil ke atasnya.
  • Isu itu tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa perkara, termasuk sebahagian pihak enggan mengambil risiko.
  • “Sebahagiannya dikatakan kerana ada campur tangan pihak yang tinggi terutama dalam penguatkuasaan atau keselamatan kemudian mereka (kumpulan pengkaji  GISBH) telah mengambil langkah dengan membawa kes ini untuk dibentangkan kepada negeri Perlis, kepada jawatankuasa fatwa Perlis,” katanya menerusi klip video ‘Dr MAZA VS GISB’ yang dimuat naik di Facebook di sini pada Khamis.
  • Beliau menjawab beberapa soalan daripada wartawan semalam yang antara bertanya bagaimana Perlis memulakan isu ini sehingga menjadi isu di peringkat negara dan berapa lama tempoh kajian telah dibuat sehinggakan pihak beliau berani membangkitkan isu berkenaan.

KUALA LUMPUR — Isu membabitkan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), namun tiada tindakan diambil, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata pihak membuat kajian tentang kes ini telah berusaha bertahun-tahun lamanya bertemu dengan beberapa pihak bertanggungjawab, termasuk membentangkan kajian didapati, namun tiada tindakan diambil ke atasnya.

Beliau berkata isu itu tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa perkara, termasuk sebahagian pihak enggan mengambil risiko selain mungkin ada campur tangan pihak yang tinggi, terutama dalam penguatkuasaan atau keselamatan.

“Sebahagian juga mungkin melihat tidak begitu besar kerana mungkin sebahagian daripada kepercayaan kumpulan (GISBH) ini ada juga kepada mereka dan mungkin juga sebab musabab lain.

“Sebahagiannya dikatakan kerana ada campur tangan pihak yang tinggi terutama dalam penguatkuasaan atau keselamatan kemudian mereka (kumpulan pengkaji  GISBH) telah mengambil langkah dengan membawa kes ini untuk dibentangkan kepada negeri Perlis, kepada jawatankuasa fatwa Perlis.

“Sebahagian ahli-ahli fatwa ketika mendengar pembentangan isu GISB ini daripada duduk di kerusi bangun berdiri kerana merasa begitu panas isu ini dan sebahagian mereka tengok saya dan menyatakan datuk mufti tanggungjawab kita untuk menentang hal ini, ini adalah prioriti kita dan kita mesti hapuskan kekarutan ini,” katanya menerusi klip video ‘Dr MAZA VS GISB’ yang dimuat naik di Facebook di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa soalan daripada wartawan semalam yang antara bertanya bagaimana Perlis memulakan isu ini sehingga menjadi isu di peringkat negara dan berapa lama tempoh kajian telah dibuat sehinggakan pihak beliau berani membangkitkan isu berkenaan.

Dr MAZA mendedahkan pihaknya telah menghantar surat kepada pemimpin utama dipercayai GISBH untuk hadir ke Perlis pada 20 hari bulan dan pemimpin utama syarikat berkenaan telah bersetuju untuk menghadirinya.

“Saya ingin menyebut beberapa hal yang sangat mustahak untuk kita tahu sebagai orang Islam dan untuk orang bukan Islam juga di dalam negara ini untuk faham bahawa apa yang berlaku (dilakukan GISBH) ini tidak ada kaitan dengan ajaran Islam.

“Saya sangat bimbang kerana ramai orang nanti akan sangka ini ke ajaran Islam, terutama non-muslim yang mungkin mereka tidak mendapat maklumat yang cukup tentang Islam,” katanya.

Ini susulan serbuan Ops Global kelmarin di 20 rumah amal yang dikaitkan dengan kumpulan perniagaan itu, di mana siasatan polis mendapati antara modus operandi dilakukan adalah penghuni dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Dalam Op Global itu, seramai 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 rumah amal terbabit bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama.

Semalam, media melaporkan 171 suspek yang ditahan dalam serbuan di rumah amal terbabit direman tujuh hari dan kesemua 20 premis diserbu ditutup sementara.

GISBH bagaimanapun menafikan dakwaan syarikat itu terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja, selain menolak tuduhan kanak-kanak di rumah amal mereka diliwat dan diajar meliwat. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *