Terkini
Tidak wajar guna undang-undang paksa wartawan dedah sumber laporan – Syahredzan
Seorang Ahli Parlimen daripada DAP tidak menyokong tindakan mana-mana pihak menggunakan peruntukan undang-undang jenayah untuk memaksa atau mendesak wartawan mendedahkan sumber yang dirujuk dalam laporan mereka.
- Seorang Ahli Parlimen daripada DAP tidak menyokong tindakan mana-mana pihak menggunakan peruntukan undang-undang jenayah untuk memaksa atau mendesak wartawan mendedahkan sumber yang dirujuk dalam laporan mereka.
- Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata beliau tidak menafikan terdapat keperluan supaya pengamal media bertanggungjawab terhadap apa mereka terbitkan, namun hak untuk melindungi kerahsiaan sumber itu juga tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
- Semua pihak, termasuk PDRM dan kerajaan, digesa mendukung hak wartawan dan menghormati peranan media dalam negara ini.
- “Kerahsiaan sumber adalah salah satu tonggak penting dalam kewartawanan. Wartawan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kerahsiaan sumber yang dirujuk dalam laporan mereka.
- “Kerahsiaan ini amat penting supaya media dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan. Ia adalah sebahagian daripada kod etika kewartawanan seluruh dunia,” katanya menerusi ciapan di X pada Khamis yang turut berkongsikan tangkap layar sebahagian kenyataan media Geramm-NUJM bertajuk, ‘Tegas Pertahan Hak Wartawan Lindungi Kerahsiaan Sumber’.
KUALA LUMPUR — Seorang Ahli Parlimen daripada DAP tidak menyokong tindakan mana-mana pihak menggunakan peruntukan undang-undang jenayah untuk memaksa atau mendesak wartawan mendedahkan sumber yang dirujuk dalam laporan mereka.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata menggunakan tindakan undang-undang untuk tujuan itu adalah tidak wajar sama sekali.
Syahredzan berkata beliau tidak menafikan terdapat keperluan supaya pengamal media bertanggungjawab terhadap apa mereka terbitkan, namun hak untuk melindungi kerahsiaan sumber itu juga tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya semua pihak, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan, untuk mendukung hak wartawan dan menghormati peranan media dalam negara ini.
“Saya setuju dengan kenyataan media diterbitkan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan National Union of Journalists Malaysia (NUJM) hari ini (semalam).
“Kerahsiaan sumber adalah salah satu tonggak penting dalam kewartawanan. Wartawan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kerahsiaan sumber yang dirujuk dalam laporan mereka.
“Kerahsiaan ini amat penting supaya media dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan. Ia adalah sebahagian daripada kod etika kewartawanan seluruh dunia.
“Malahan, badan Kehakiman juga telah mengiktiraf hak untuk melindungi kerahsiaan sumber dalam beberapa kes, walaupun hak tersebut tidak mutlak,” katanya menerusi ciapan di X pada Khamis yang turut berkongsikan tangkap layar sebahagian kenyataan media Geramm-NUJM bertajuk, ‘Tegas Pertahan Hak Wartawan Lindungi Kerahsiaan Sumber’.
Semalam, Geramm dan NUJM membantah sebarang usaha yang boleh mengancam hak wartawan untuk melindungi kerahsiaan identiti sumber tidak dinamakan.
Mereka menegaskan sebarang berita tidak seharusnya dinilai sebagai “tidak benar” atau “tidak sah” hanya kerana memetik sumber dengan identiti dirahsiakan.
Mereka juga berpandangan sebarang bentuk “kerjasama” dalam apa jua siasatan dijalankan pihak berkuasa tidak seharusnya melibatkan tuntutan untuk mendedahkan identiti sumber dirahsiakan.
“Sebaliknya, keperluan untuk menghormati privasi dan kerahsiaan sumber digariskan sebagai salah satu dari lapan nilai Kod Etika Wartawan Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia mewakili kerajaan.
“Keperluan yang sama turut menyumbang ke arah kemampuan wartawan dan organisasi media untuk menjalankan peranan sebagai “fourth estate” atau mewakili suara semua lapisan masyarakat,” kata Geramm dan NUJM dalam kenyataan bersama.
Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan selepas polis memaklumkan membuka siasatan berhubung laporan sebuah portal berita tempatan yang menyiarkan laporan didakwa diperoleh daripada sumber mengenai wujudnya rancangan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi PDRM.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum itu menegaskan spekulasi rombakan tersebut, yang memetik sumber, sebagai “tidak benar” dan menasihatkan semua pihak supaya tidak memetik sebarang sumber tidak rasmi, terutama membabitkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.
“Kita ingin menegaskan bahawa PDRM tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara dimaksudkan.
“PDRM telah menghubungi pihak portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita tersebut,” katanya dipetik media tempatan pada Selasa.
Semalam, polis dilaporkan akan merakam keterangan tiga penulis daripada portal berita berkenaan berhubung laporan pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan PDRM.
Razarudin berkata rakaman keterangan daripada tiga individu terbabit akan diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 2.30 petang ini. — The Merdeka Times