Connect with us

Terkini

Media jangan petik ‘sumber’ tidak sahih, perlu lebih bertanggungjawab – Ketua Polis Negara

Semua pihak khususnya pengamal media diminta lebih bertanggungjawab dengan tidak menyiarkan berita tidak diketahui atau diragui kesahihannya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
  • “Perkembangan teknologi menyebabkan wujudnya pelbagai media, termasuk portal sehingga mungkin berlaku persaingan ‘siapa’ keluar berita dahulu atau sebagainya.
  • “Bagaimanapun, kita menasihatkan orang ramai, terutama pihak media bagi memastikan berita yang dilaporkan daripada pihak yang berkaitan membabitkan sesuatu isu dan bukannya memetik ‘sumber’ yang tidak tahu sahih atau tidak.
  • “Hal ini banyak berlaku kebelakangan ini, mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini dan terbaharu isu yang menyentuh pengurusan serta dalaman PDRM,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik media tempatan pada Rabu.
  • Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan menyiarkan laporan didakwa diperoleh daripada sumber mengenai wujudnya rancangan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi PDRM, dengan beberapa pegawai kanan dijangka dipindahkan keluar daripada agensi itu
  • Razarudin pada Selasa bagaimanapun menegaskan spekulasi itu sebagai “tidak benar” dan menasihatkan semua pihak tidak memetik sebarang sumber tidak rasmi, terutama membabitkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.

KUALA LUMPUR — Semua pihak khususnya pengamal media diminta lebih bertanggungjawab dengan tidak menyiarkan berita tidak diketahui atau diragui kesahihannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengakui perkembangan pesat teknologi menyebabkan timbul persaingan dan mendorong media menyiarkan laporan semasa secara lebih pantas, namun ia tidak seharusnya melangkaui sempadan etika kewartawanan.

“Perkembangan teknologi menyebabkan wujudnya pelbagai media, termasuk portal sehingga mungkin berlaku persaingan ‘siapa’ keluar berita dahulu atau sebagainya.

“Bagaimanapun, kita menasihatkan orang ramai, terutama pihak media bagi memastikan berita yang dilaporkan daripada pihak yang berkaitan membabitkan sesuatu isu dan bukannya memetik ‘sumber’ yang tidak tahu sahih atau tidak.

“Hal ini banyak berlaku kebelakangan ini, mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini dan terbaharu isu yang menyentuh pengurusan serta dalaman PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya dipetik media tempatan di sini pada Rabu.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan menyiarkan laporan didakwa diperoleh daripada sumber mengenai wujudnya rancangan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi PDRM, dengan beberapa pegawai kanan dijangka dipindahkan keluar daripada agensi itu

Razarudin pada Selasa bagaimanapun, menegaskan spekulasi rombakan tersebut, yang memetik sumber, sebagai “tidak benar” dan menasihatkan semua pihak supaya tidak memetik sebarang sumber tidak rasmi, terutama membabitkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.

Susulan itu juga polis memaklumkan membuka siasatan berhubung laporan portal dalam talian berkenaan yang menyiarkan berita dengan memetik sumber mengenai rombakan besar-besaran kepemimpinan tertinggi polis.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Februari 2023 dilaporkan mempertahankan hak agensi media menyiarkan berita memetik sumber dalam laporan tertentu.

Fahmi berkata tiada sebarang larangan atau sekatan akan dikenakan dalam isu laporan berita yang memetik sumber kerana beliau memahami wartawan dan media berhak melindungi keselamatan individu yang memberi maklumat kepada mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan itu tetap tertakluk kepada undang-undang dan mana-mana laporan tidak benar dan berunsur fitnah tetap akan diambil tindakan.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata sekiranya berita dilaporkan didapati berunsur khianat atau fitnah, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata antara tindakan boleh diambil adalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 233 AKMM, mereka yang berkenaan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *