Kolumnis
Bulan Hantu Lapar: Apa yang perlu anda tahu?
Pada Ahad ini, kita akan melihat masyarakat Cina mulai membakar replika kertas, tidak keluar pada malam hari atau meletakkan makanan di jalanan.
Pada Ahad ini, kita akan melihat masyarakat Cina mulai membakar replika kertas, tidak keluar pada malam hari atau meletakkan makanan di jalanan.
Ini kerana masyarakat Cina Buddha mempercayai bulan ke-7 dalam kalendar Lunar adalah Bulan Hantu Lapar.
Dalam tempoh ini, mereka percaya pintu neraka akan dibuka yang menyebabkan roh-roh hantu mulai berkeliaran di bumi dan mereka amat memerlukan makanan serta hiburan persembahan.
Jadi, makanan yang disediakan itu bukanlah untuk anda tetapi kepada hantu-hantu yang sedang kelaparan supaya mereka tidak mengganggu manusia sepanjang tempoh tersebut.
Amalan ini dilakukan sepanjang Bulan Hantu bagi memastikan hantu-hantu yang berkeliaran mempunyai sesuatu untuk dimakan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga amalan lain dan keraian yang mereka lakukan dalam Bulan Hantu yang ditujukan khas kepada roh-roh hantu lapar yang sedang merayau bebas.
Lebih-lebih lagi pada hari kemuncak Bulan Hantu iaitu pada tanggal ke-15 bulan ke-7, masyarakat Cina akan menyambut satu perayaan besar yang dikenali sebagai Perayaan Hantu Lapar.
Perayaan Hantu Lapar ini mempunyai pelbagai nama mengikut negara seperti Festival Zhongyuan dan Festival Yulanpen di China dan Festival Obon di Jepun.
Nama perayaan sahaja yang berbeza tetapi teras tradisinya masih sama iaitu berasal daripada agama Buddha.
Perayaan Hantu Lapar adalah perayaan agama Buddha
Asal usul sambutan perayaan Hantu Lapar ada disebutkan dalam kitab agama Buddha, Ullambana Sutra atau Yulanpen Sutra.
Ia berasal daripada kisah seorang pengikut Siddharta Gautama Buddha, yang bernama Mu-Lien (atau Maudgalyayana dalam Sanskrit) yang mempunyai kebolehan untuk melihat penderitaan ibunya yang menjadi hantu lapar di neraka.
Dalam kisah ini, ketika Mu-Lien bertapa, dia ternampak ibunya sedang merana di dalam neraka yang paling dalam akibat daripada balasan amalan buruk ibunya semasa hidup.
Ibunya telah menjadi hantu lapar yang memiliki leher yang sempit senipis jarum dan perutnya besar mengembung. Disebabkan lehernya sempit itu, ia tidak dapat memuaskan nafsu makannya, malah ia membuatkannya sukar untuk menelan apa jua makanan.
Walaupun Mu-Lien cuba untuk menghantar pemberian makanan kepada ibunya, tetapi makanan itu akan bertukar menjadi api setiap kali sampai ke mulut ibunya.
Dikatakan inilah balasan ketamakan ibunya kerana enggan memberi sedekah mahupun pemberian makanan kepada para sami yang mengembara.
Maka, ia diseksa menjadi hantu yang sentiasa dalam keadaan tersangat lapar seperti laparnya para sami.
Sedih melihat nasib ibunya, Mu-Lien meminta nasihat kepada Buddha untuk menyelamatkan ibunya daripada penyeksaan.
Namun, Buddha mengatakan bahawa dosa ibunya ini terlalu besar sehingga Mu-Lien sendiri tidak mampu menyelamatkannya. Hanya kuasa dan doa para sami sahaja yang boleh menyelamatkannya.
Oleh itu, Buddha menetapkan satu hari ke-15 bulan ke-7 sebagai hari Mu-Lien mengadakan suatu pesta yang menyediakan pelbagai juadah makanan dan dijamu kepada para sami.
Buddha turut menggesa Mu-Lien memberi persembahan kepada para sami pada hari tersebut.
Terdapat versi lain juga menceritakan bahawa Buddha dengan kuasanya memanggil hantu lapar di neraka untuk menikmati sekali pesta juadah dan persembahan yang disediakan.
Dengan pesta dan persembahan ini yang dibuat oleh Mu-Lien, ibunya telah dibebaskan daripada penyeksaan.
Oleh sebab itu, penganut Buddha akan merayakan hari ke-15, bulan ke-7 dengan sangat meriah bagi meraikan roh-roh hantu lapar yang datang ke bumi. Ia dinamakan Festival Yulanpen atau Perayaan Hantu Lapar.
Pada perayaan itu, mereka akan melakukan upacara sembahyang dan membuat persembahan makanan serta membakar replika kertas berupa wang, pakaian, keperluan harian dan juga barangan mewah.
Dipercayai dengan membakar replika kertas itu, roh si mati akan menerima dan ia akan memudahkan kehidupan mereka di alam akhirat.
Mereka juga akan membuat persembahan opera Cina atau gē tái (歌 台) untuk menghiburkan hantu-hantu.
Dalam majlis tersebut, kerusi bahagian hadapan akan dibiarkan kosong untuk membenarkan hantu-hantu duduk di situ dan peserta lain dilarang untuk mendudukinya.
Persembahan kepada hantu lapar berbeza mengikut tempat, namun tujuannya sama iaitu untuk meraikan hantu lapar.
Contohnya, masyarakat Cina kebiasaannya akan melakukan persembahan konsert nyanyian atau pertunjukan opera.
Manakala, penganut Buddha di Jepun pula akan melakukan persembahan berbentuk tarian yang dikenali sebagai Bon Odori (Tarian Festival Obon).
Muslim dilarang sertai Perayaan Hantu Lapar
Berkenaan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) telah menjelaskan hukum Muslim menyambut Perayaan Hantu Lapar dalam artikel “Al-Afkar #18: Menyertai Perayaan Hantu Lapar” kira-kira enam tahun yang lalu.
“Kami berpandangan bahawa tiada keperluan bagi umat Islam untuk menghadirinya. Ini kerana, ia berkait rapat dengan akidah dan pegangan umat Islam,” kata Pejabat Mufti WP.
Artikel itu menyebut larangan itu berdasarkan firman Allah SWT:
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.” (Surah Al-Furqan 25:72)
Namun, bagi yang perlu hadir atas tujuan pembelajaran, ia dibolehkan dengan syarat tidak melibatkan diri dengan sebarang upacara berkaitan.
Dibimbangi dengan menyertai perayaan keagamaan boleh merosakkan akidah dan kepercayaan seorang Muslim. Seperti firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa, 4: 115 yang
bersabda:
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul (Muhammad) setelah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan dia dalam kesesatan yang dilakukannya itu dan akan Kami masukkan dia ke dalam neraka Jahanam, dan itu seburuk-buruk tempat kembali.” – The Merdeka Time
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.