Connect with us

Terkini

(VIDEO) Malaysia lagi banyak pakar, individu fasih Bahasa Inggeris banding Singapura – MP PH

Seorang Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan cadangan membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura ke negara ini dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan miskin bandar dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (kiri) & Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kanan).
  • “Saya mengalu-alukan usaha kerajaan bekerjasama Republik Singapura untuk mendapatkan sukarelawan daripada sana ke Malaysia untuk mengajar Bahasa Inggeris, tapi pandangan peribadi saya Datuk (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) sebenarnya saya pun tak anggap orang Singapura fasih sangat dalam Bahasa Inggeris pun.
  • “Malah saya rasa kita banyak pakar, lagi banyak orang di Malaysia yang juga fasih Bahasa Inggeris.
  • “Adakah kerajaan sebenarnya ada cuba engage atau carilah orang yang lebih fasih Bahasa Inggeris di Malaysia? Contohnya, kita ramai guru yang bersara, sekarang pun mereka tiada kerja kenapa kita tak engage mereka untuk ajar Bahasa Inggeris?” kata Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat di sini hari ini semasa mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan isu itu.
  • Terdahulu, media melaporkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan sebagaimana tanggapan sesetengah pihak.

KUALA LUMPUR — Seorang Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan cadangan membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura ke negara ini dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan miskin bandar dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata ini kerana Malaysia mempunyai lebih banyak pakar dan individu yang fasih berbahasa Inggeris, berbanding orang Singapura yang dianggapnya tidak terlalu fasih dalam bahasa berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kepentingan menambah baik kefasihan berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia untuk meningkatkan daya saing negara.

“Saya mengalu-alukan usaha kerajaan bekerjasama Republik Singapura untuk mendapatkan sukarelawan daripada sana ke Malaysia untuk mengajar Bahasa Inggeris, tapi pandangan peribadi saya Datuk (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) sebenarnya saya pun tak anggap orang Singapura fasih sangat dalam Bahasa Inggeris pun.

“Malah saya rasa kita banyak pakar, lagi banyak orang di Malaysia yang juga fasih Bahasa Inggeris.

“Adakah kerajaan sebenarnya ada cuba engage atau carilah orang yang lebih fasih Bahasa Inggeris di Malaysia? Contohnya, kita ramai guru yang bersara, sekarang pun mereka tiada kerja kenapa kita tak engage mereka untuk ajar Bahasa Inggeris?

“Singapura sukarelawan okay-lah kita terima, tapi jangan lupa orang Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini semasa mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan isu itu.

Terdahulu, media melaporkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan sebagaimana tanggapan sesetengah pihak.

Fadhlina dilaporkan sebagai berkata sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura di mana khidmat guru sukarelawan berkenaan akan dibayar kerajaan Singapura.

Beberapa pihak sebelum ini, termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengkritik cadangan pengambilan guru Bahasa Inggeris dari Singapura.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) juga antara pihak yang berharap kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut kerana berpandangan ramai lagi tenaga tempatan mempunyai kelulusan IPTA dan IPTS berminat dan layak dilantik menjadi guru Bahasa Inggeris.

Katanya,  kerajaan seharusnya memperkasakan tenaga tempatan untuk mengisi kekurangan guru Bahasa Inggeris sebelum mempertimbangkan cadangan membawa guru dari Singapura.

Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah, Fadhlina berkata pihaknya tiada masalah dan mengalu-alukan guru bersara yang ingin berkhidmat mengajar Bahasa Inggeris sebagaimana beliau mengalu-alukan sukarelawan Singapura.

“Kalau sukarelawan Singapura nak datang kita alu-alukan, kalau guru-guru bersara (di Malaysia) nak berkhidmat dengan kita pun kita alu-alukan tidak ada masalah.

“Sebenarnya penglibatan guru yang telah bersara ini telah pun banyak membantu dalam usaha KPM untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

“Sebagai contoh program HIP Mentor (Highly Immersive Programme) yang telah diperkenalkan ini adalah salah satu program yang kita jalankan bersama dengan guru bersara bagi membantu dalam menyediakan persekitaran Bahasa Inggeris di sekolah melalui pelbagai pendekatan dan aktiviti Bahasa Inggeris yang lebih menarik,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *