Antarabangsa
Satu daripada lima warga Australia dewasa lakukan keganasan seksual – kajian
Kajian baharu mendapati satu daripada lima warga Australia antara 18 dan 45 tahun melakukan keganasan seksual sejak menjadi individu dewasa.
- Kajian baharu mendapati satu daripada lima warga Australia antara 18 dan 45 tahun melakukan keganasan seksual sejak menjadi individu dewasa.
- Satu daripada sepuluh melakukannya dalam tempoh setahun lalu, demikian menurut kajian Institut Kriminologi Australia (AIC) dikeluarkan semalam berdasarkan tinjauan membabitkan lebih 5,000 responden.
- Walaupun dapatan tinjauan itu disifatkan “mengejutkan” oleh dua penyelidik keganasan domestik dan keluarga yang tidak terlibat dalam kajian tersebut, penulis kajian memberi amaran bahawa angka sebenar barangkali lebih buruk.
- AIC menganggapnya salah satu kajian Australia paling penting dalam meneliti pelaku keganasan seksual, berbeza dengan pendekatan lebih meluas berasaskan mangsa.
- Kira-kira satu daripada lima wanita dewasa dan satu daripada 15 lelaki dewasa di Australia menjadi mangsa keganasan seksual sejak berumur 15 tahun, demikian menurut Biro Perangkaan Australia (ABS).
- Secara umumnya, kajian AIC mendapati 22.1 peratus responden melakukan satu atau lebih bentuk keganasan seksual sejak berumur 18 tahun dan 9.9 peratus melakukannya dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Kajian baharu mendapati satu daripada lima warga Australia antara 18 dan 45 tahun melakukan keganasan seksual sejak menjadi individu dewasa.
Satu daripada sepuluh melakukannya dalam tempoh setahun lalu, demikian menurut kajian Institut Kriminologi Australia (AIC) dikeluarkan semalam berdasarkan tinjauan membabitkan lebih 5,000 responden.
Walaupun dapatan tinjauan itu disifatkan “mengejutkan” oleh dua penyelidik keganasan domestik dan keluarga yang tidak terlibat dalam kajian tersebut, penulis kajian memberi amaran bahawa angka sebenar barangkali lebih buruk.
Institut itu menganggapnya salah satu kajian Australia paling penting dalam meneliti pelaku keganasan seksual, berbeza dengan pendekatan lebih meluas berasaskan mangsa.
Timbalan Pengarah AIC, Dr Rick Brown berkata pendekatan itu penting untuk memahami pendorong keganasan seksual dan memberi tumpuan kepada pencegahan pelaku berbanding pendekatan berasaskan mangsa.
“Penemuan ini mengisi jurang penting dalam daftar bukti Australia, sambil menyumbang usaha memantau dan menilai pendekatan mengurangkan keganasan seksual dengan menyediakan anggaran lebih tepat mengenai kadar pelakuannya,” kata Brown dipetik 9News.
Kira-kira satu daripada lima wanita dewasa dan satu daripada 15 lelaki dewasa di Australia menjadi mangsa keganasan seksual sejak berumur 15 tahun, demikian menurut Biro Perangkaan Australia (ABS).
Secara umumnya, kajian AIC mendapati 22.1 peratus responden melakukan satu atau lebih bentuk keganasan seksual sejak berumur 18 tahun dan 9.9 peratus melakukannya dalam tempoh 12 bulan lalu.
Mereka membahagikan respons kajian kepada tiga kategori iaitu gangguan dan paksaan seksual, serangan seksual dan penderaan seksual berasaskan imej.
Kategori gangguan dan paksaan setakat ini merupakan bentuk gangguan paling lazim dengan 16.1 peratus responden mengaku berbuat demikian sejak dewasa dan kira-kira 7.3 peratus melakukannya dalam tempoh 12 bulan lalu. – The Merdeka Times