Connect with us

Agama

Hayati semangat hijrah, jalankan usaha dakwah

APABILA tiba bulan Muharram, antara topik yang sentiasa didengari dalam khutbah dan kuliah pastinya ada kaitan dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

APABILA tiba bulan Muharram, antara topik yang sentiasa didengari dalam khutbah dan kuliah pastinya ada kaitan dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW.

Barangkali, sudah ramai yang menghafal perjalanan hijrah Baginda Rasulullah SAW kerana inilah kisah kita selalu dengarkan dari bangku sekolah rendah lagi.

Dari Abu Bakar menyediakan unta untuk Rasulullah SAW, mukjizat di Gua Thur, pembinaan Masjid Quba, sehinggalah ketibaan Rasulullah yang dinanti-nantikan oleh para Muhajirin dan Ansar serta pembinaan Masjid Nabawi, semuanya pasti dalam ingatan para Muslim.

Persoalannya, sudahkah kita sebagai Muslim menghayati perjalanan mulia Baginda dan para Muhajirin pada waktu itu?

Seperti yang diketahui umum, antara hikmah hijrah Rasulullah SAW adalah  untuk menyelamatkan umat Islam daripada penindasan dan serangan orang Arab Quraisy.

Namun, kepentingan peristiwa hijrah bukan terhenti setakat itu sahaja, hakikatnya hikmah hijrah terbesar Baginda Rasulullah SAW adalah menandakan satu permulaan perkembangan agama Islam dengan lebih meluas, malah lebih tersusun sebagai satu negara berdaulat.

Pada 13 tahun pertama kenabian, Rasulullah SAW hanya berdakwah dan menyampaikan mesej tawhid di kota kelahirannya, Makkah. 

Diceritakan juga dalam kitab-kitab sejarah bahawa setiap penjuru kota Makkah baginda jelajahi menyampaikan dakwah kerana khuatir jikalau ada orang yang tidak dapat mendengar mesej Allah.

Betapa gigihnya Rasulullah SAW berdakwah sehingga apabila berita dakwahnya didengari kaum Musyrikin, bukan sahaja baginda, malah barangsiapa yang memeluk agama Muhammad ketika itu akan ditindas dan diancam bunuh. 

Namun, Baginda tidak pernah meninggalkan kota Makkah sehinggalah turunnya wahyu daripada Allah SWT selepas 13 tahun yang membenarkan Baginda berhijrah ke Madinah.

Hijrah: Permulaan tersebarnya Islam 

Penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi ia adalah permulaan baru bagi usaha dakwah dan penyebaran Islam yang lebih luas ke luar kota Makkah.

Bermula dengan pemelukan Islam secara besar-besaran dari suku kaum Khazraj dan Aus di Madinah, kota ini menjadi negara Islam pertama dengan bermajoriti adalah Muslim. Ini menjadikan Madinah sebagai pusat kekuatan baru bagi umat Islam. 

Dengan bertambahnya bilangan umat Islam, kedudukan Islam di Tanah Arab semakin kuat dan kukuh. 

Apatah lagi dengan kejayaan Islam yang semakin terserlah apabila tentera Muslim berjaya menewaskan tentera Musyrikin dalam Perang Badar. Walaupun hanya dengan kekuatan 313 orang, tentera Muslim dapat mengalahkan tentera yang mencecah 1,000 orang. 

Beberapa peperangan yang berlaku selepas itu juga seperti Perang Khandaq, terus membuktikan keteguhan dan keberanian umat Islam dalam mempertahankan dan menegakkan agama Allah.

Kemuncak kejayaan umat Islam berlaku ketika pembukaan semula kota Makkah. Baginda Rasulullah SAW membawa 10,000 orang sahabat menunaikan umrah dengan penuh kebesaran tanpa tumpahnya setitik darah di bumi yang dahulunya dipenuhi patung berhala. 

Kekuatan tentera Muslim menjadi begitu kuat sehingga tentera Rom takut untuk melancarkan peperangan, menjadikan Muslim menang tanpa pertempuran dalam Perang Tabuk.

Muslim perlu hijrah dari zon keselesaan

Kisah-kisah ini tidak sepatutnya menjadi hanya satu cerita untuk disampaikan, tetapi ianya sepatutnya menjadi satu pengajaran untuk Muslim pada hari ini.

Penyebaran Islam ke seluruh dunia pada hari ini adalah bermula dari hasil usaha dan pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat.

Dalam mengingati pengorbanan umat Islam terdahulu, kita sebagai Muslim tidak patut berada dalam zon selesa dan hanya menikmati kejayaan yang telah tercapai.

Lebih-lebih lagi apabila ancaman daripada golongan anti-Islam telah membawa fenomena Islamofobia ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu Islamodium (kebencian kepada Islam).

Setiap Muslim perlu berhijrah dan bangkit dari zon keselesaan masing-masing untuk  mempertahankan Islam.

Antara pendekatan yang paling mudah adalah berdakwah dan menyampaikan Islam kepada kenalan kita di sekeliling.

Allah SWT telah menjanjikan kemenangan Islam dalam Surah at-Taubah, Ayat 33 yang bermaksud,

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”

Maka, kemenangan Islam adalah pasti. Namun, pilihan untuk menjadi penonton yang melihat kemenangan Islam atau menjadi golongan yang memenangkan Islam adalah pada tangan kita.

Marilah kita mengambil iktibar dari hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat, dan berusaha menjadikan kehidupan kita lebih bermakna dengan memperjuangkan Islam dalam apa jua cara yang kita mampu.

Semoga perjuangan hijrah kita menjadi asbab Allah memberi rahmat kepada kita sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, Ayat 218 yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *