Terkini
Fahmi Fadzil kecewa pembuli siber Esha didenda RM100
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluahkan kekecewaan dengan denda RM100 dikenakan terhadap seorang wanita yang terbabit dalam kes buli siber pempengaruh TikTok dikenali A Rajeswary atau Esha.
- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluahkan kekecewaan dengan denda RM100 dikenakan terhadap seorang wanita yang terbabit dalam kes buli siber pempengaruh TikTok dikenali A Rajeswary atau Esha.
- “Saya kesal dengan denda yang kecil, tetapi saya difahamkan oleh Pejabat Peguam Negara bahawa hukuman dikenakan berdasarkan bukti yang diperolehi.
- “Kita perlu mengkaji semula definisi buli siber, dan apakah denda yang sesuai untuknya,” katanya dipetik FMT hari ini selepas menyampaikan ucaptama di KL Startup Summit 2024.
- Semalam, P Shalini dikenakan denda itu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok untuk membangkitkan kemarahan.
- Esha sebelum ini ditemukan meninggal dunia di unit kediaman di Setapak pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber dihadapinya.
KUALA LUMPUR — Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluahkan kekecewaan dengan denda RM100 dikenakan terhadap seorang wanita yang terbabit dalam kes buli siber pempengaruh TikTok dikenali A Rajeswary atau Esha.
“Saya kesal dengan denda yang kecil, tetapi saya difahamkan oleh Pejabat Peguam Negara bahawa hukuman dikenakan berdasarkan bukti yang diperolehi.
“Kita perlu mengkaji semula definisi buli siber, dan apakah denda yang sesuai untuknya,” katanya dipetik FMT hari ini selepas menyampaikan ucaptama di KL Startup Summit 2024.
Semalam, P Shalini yang juga seorang pemilik sebuah rumah kebajikan dikenakan denda itu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok untuk membangkitkan kemarahan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat melalui akaun TikTok dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah premis di Jalan Ipoh, di sini, jam 4.10 pagi pada 1 Julai lalu.
Shalini didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Terdahulu, Esha ditemukan meninggal dunia di unit kediaman di Setapak pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber dihadapinya.
Fahmi semalam turut dilaporkan mengatakan bahawa penambahbaikan aspek perundangan akan diteliti kerajaan, termasuk mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan dalam masa terdekat bagi memperketatkan undang-undang berkaitan buli siber.
Beliau berkata terdapat undang-undang sedia ada yang perlu diperketatkan bukan sahaja dari segi takrifan definisi buli siber, tetapi juga dari segi denda atau hukuman yang boleh dikenakan. — The Merdeka Times